Image hosting by Photobucket
.:.:.:.:.:.:.:.:.:.: Juzuk Intelek jangan sesekali dilupakan walau kaki jauh meninggalkan gerbang kampus:.:.:.:.:.:.:.:.Biarkan cahaya kebangkitan menyinar, memenuhi citra yang Uzma.:.:.:.:.:.:.:.Mahasiswa dan Tradisi Kependitaan..ada Peranan yang tersendiri



Thursday, October 12, 2006
Program mega terkini !!!

       

 

JEMPUTAN

 

Muslimin/ Muslimat /Saudara / Saudari

 

Dengan segala hormatnya dijemput ke

 

FORUM PENDEKATAN SYARIAH DALAM KESIHATAN 2006

yang dianjurkan oleh Pusat Racun Negara, Sekretariat Kampus Sejahtera USM,  Pertubuhan Prihatin Kesihatan & Sosial Malaysia (PRIHATIN MALAYSIA) & Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). bersempena sambutan bulan Ramadhan Al-Mubarak 1427 Hijrah

 

pada hari Khamis, 19 Oktober 2006, 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari bertempat di Dewan Persidangan Universiti, Universiti Sains Malaysia.

 

 


ATURCARA

 

8.30 Pagi         Pendaftaran Peserta

           

                        Forum Pendekatan Syariah Dalam Kesihatan

 

“Pendekatan Syariah Dalam Menangani Isu-isu Kesihatan Masyarakat”

Oleh: Dr. Jamnur Azhar b. Hj. Mulkan

           Pengamal Perubatan Klinik Jamnur Azhar

           (Bekas Pakar Bedah Hospital Alor Setar, Kedah)                   

 

“Penipuan Dan Manipulasi Industri Tembakau”

Oleh: Profesor Rahmat Awang

          Pengarah Pusat Racun Negara, USM

 

 “Polisi Kesihatan Negara Dalam Pandangan Syariah”

Oleh: Tn. Hj. Mohd. Azmi b. Abdul Hamid

           Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

 

               Pengerusi Forum :  Sdra. Mohd Shahrizan Bin Sazali

 

 

11.40 pagi       Sesi Soal Jawab

12.30 tgh         Bersurai

 

Sila sahkan kehadiran selewat-lewatnya pada 16 Oktober 2006 dengan menghubungi Pn. Noor Zatul Zuriana di talian 04-6570099 atau Cik Fikriyah, 019-5773960.

 

 


Posted at 05:42 am by Pendita Bitara
Komen membina  

Wednesday, October 04, 2006
Pembongkaran Pemikiran Said Nursi Badiuzzaman

Senarai Harga dan Fakta Ringkas tentang Rasail al-Nur

 

Rasail al-Nur merupakan koleksi Risalah-risalah Cahaya oleh Mujaddid Bediuzzaman Said Nursi. Rasail al-Nur ditulis ketika Nursi di dalam buangan, di hutan belantara, di dalam penjara dan di celah-celah bukit bukau di Turki. Sebahagian besar Rasail al-Nur di tulis ketika Bediuzzaman Said Nursi dalam buangan di Barla. Penulisan Rasail al-Nur sangat unik kerana ia ditulis secara rahsia. Sewaktu kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah dan semasa pemerintahan Mustafa Kamal Atarturk. 

  

Berikut adalah senarai harga Rasail al-Nur. Sebarang tempahan bolehlah menghubungi saya di alamat email: diqma@yahoo.com . Senarai harga berikut tidak termasuk harga pos.

 

1. Bahagian Pertama ini merupakan Rasail al-Nur dalam bentuk jilid. Terdapat dalam Bahasa Indonesia, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

 

Bahasa Indonesia

Harga (RM)

1. Sinar yang Mengungkap Cahaya

58

2. Menjawab yang Tak Terjawab

58

3. Menikmati Takdir Langit

58

4. Said Nursi Pemikir dan Sufi Besar Abad 20

25

 

 

Bahasa Arab

Harga (RM)

1. Al-Kalimaat

50

2. Al-Maktubaat

45

3. Al-Luma`aat

43

4. Al-Shu`a`aat

45

5. Ishaaratul I'jaz

35

6. Al-Mathnawi al-'Arabi al-Nuri

35

7. Al-Malaahiq

40

8. Sayqal al-Islam

43

9. Sirah Zatiyah

43

10.Al-Faharis

35

 

 

Bahasa Inggeris

Harga (RM)

1. The Words

50

2. The Letters

45

3. The Flashes

45

4. The Rays

50

5. B. Said Nursi (Biography)

40

6. The Staff of Moses

25

 

 

2. Bahagian Kedua ini pula merupakan Rasail al-Nur dalam bentuk buku kecil (booklets). Terdapat dalam Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

 

Bahasa Malaysia

Harga (RM)

1. Tawhid dan Tasbih

10

2. Mukjizat'ul Qur'an - 1

10

3. Mukjizat'ul Qur'an - 2

10

4. Ana dan Zarah

8

5. B.S.NURSI (Sejarah Perjuangan & Pemikiran)

12

6. Risalah Pesakit

4

7. Misteri Gempa Bumi

2

 

 

Bahasa Indonesia

Harga (RM)

1. Dari Balik Lembaran Suci

20

2. Dari Cermin ke-Esaan Allah

20

3. Episode Mistis Kehidupan Ras

20

4. Alegori Kebenaran Ilahi

15

5. Al-Ahad Menikmati

15

6. Dimensi Abad Kehidupan

15

7. Mi'raj Menembas Kons.

13

8. Mengokohkan Aqidah M. Ibada

10

9. Iman Kunci Kesempurnaan

8

 

 

 

Posted at 11:49 am by Pendita Bitara
Komen membina  

Sunday, October 01, 2006
Bab haji (9)

Alih Tulisan Kitab Kifayatul Muhtadiy Pada Menerangkan Sulamul Mubtadiy

Sheikh Muhammad Noor Bin Muhammad Bin Ismail Al Fatani, waris  Al A'lamah Sheikh Daud Al Fatani

KITAB NISKUN (kitab tentang Haji) (Bahagian 9:penutup bab)

 

Ini suatu fasal pada menyatakan segala dam haji dan umrah. Bermula dimak yang wajib atas orang yang ihram itu padanya tafsil. Maka tafsil itu jika ia meninggalkan nisk seperti ia meninggal ihram daripada miqat dan seperti ia meninggalkan segala yang wajib bagi haji yang enam(1) perkara yang disebutkan dahulu iaitu ihram daripada miqat dan mabit(bermalam) di muzdalifah dan melontar jamratul ‘aqabah dan bermalam di Mina dan melontar pada segala hari tasyriq dan tawaf wida’. [KES PERTAMA]Dan dam tamatu’ dan Dan qiran) itu sekaliannya dam tertib iaitu dam yang tiada sah berpindah daripadanya kepada yang lainnya melainkan apabila lemah ia daripadanya dan takdir namanya iaitu Dam yang telah ditentukan kadar yang dapat berpindah padanya iaitu seekor kambing yang memadai pada adhhiyyah (korban) yang lagi akan disebutkan dia. Maka jika lemah ia daripada mendapatkan seekor kambing itu wajib atasnya puasa 10 hari, 3 hari daripadanya di dalam haji iaitu puasa pada hari yang keenam dan yang ketujuh dan yang kelapan bulan haji kemudian daripada sudah ihram dengan haji dan tujuh hari dipuasa di negerinya. Atau barang mana negeri ia mastautin padanya dan jika Mekah sekalipun genap 10 hari. Dan sunat tiada diputuskan tujuh hari puasa itu dan demikian sunat pada 3 hari yang dahulu daripada haji itu jika tiada sempit waktu. [KES KEDUA] Dan jika Dam yang wajib atas orang yang memakai bau-bauan dan minya) jika dengan sengaja dan mengetahuikan haramnya dan menjatuh bulu dan kerat kuku 3 urat dan 3 kuku pada masa dan tempat yang satu samada dengan sengaja dan mengetahuikan haramnya atau tiada itu Dam taqhayyir iaitu dam yang sah berpindah kepada gantinya dan jikalau tiada lemah daripadanya dan takdir iaitu seperti yang telah disunatkan dia dahulu itu iaitu ia pilih antara menyembelih satu kambing atau memberi makan orang miskin 6 orang tiap-tiap seorang setengah gantang atau puasa 3 hari. Dan demikian itu juga dam orang yang memakai kain yang meliputi dan orang lelaki yang menutupkan kepalanya dan perempuan yang menutupkan mukanya dengan niat pada sekaliannya(memberi fidyah yang tersebut itu dan adapun fidyah pada gugur satu bulu atau satu kuku satu cupak atau sehari puasa dan pada dua bulu dan dua kuku dua cupak atau dua hari puasa maka apabila berulang perbuatan itu berulanglah fidyahnya itu [KES KETIGA] Dan jika Dam orang yang kena ihsar iaitu orang yang tertegah daripada menyempurnakan rukun nisk nya iaitu dan tertib dan ta’dil iaitu yang sah dipindahkan kepada suatu yang lain dengan harganya menyembelih seekor kambing jika lemah ia daripada mendapatkan kambing itu dikira-kira harganya kemudian ia belikan makanan disedekahkan kepada faqir atau miskin pada tempat hasarnya dan jika pada tanah halal sekalipun [KES KEEMPAT] Dan jika dam perburuan itu dam takhyir dan ta’dil adapun setengah  ada baginya yang seumpamanya daripada na’im (tempat mewah) dan setengah tiada ada baginya seumpamanya pada na’im. Maka jika adalah perburuan yang dirukan itu daripada perburuan yang mempunyai misalnya pada na’im seperti burung ni’amah dan rusa dan kijang dan arnab dan dhabu’ dan lainnya itu diberi akan misalnya daripada unta kepada fuqara’. Dan masakin daripada sembelihnya daripada seumpama burung ni’amah atau lembu daripada baqa al wahsh iaitu rusa atau kambing daripada kijang atau kibash daripada pelanduk atau anak kambing yang belum sampai umurnya setahun daripadanya daripada arnab dan lainnya atau dikira-kirakan harganya di Mekah dan dibeli akan makanan yang sah pada fitrahnya dan disedekahkan kepada fuqara’ dan masakin dengan dia dengan makanan itu diberikan kepada tiap-tiap seorang secupak atau ia puasa sebilang-bilang cupaknya yang dibelikan dia dengan harga kambing itu tiap-tiap cupak satu cupak sehari. Dan yang tiada sampai satu cupak dipuasa baginya sehari juga dan jika binatang yang diburukan itu daripada binatang  yang tiada baginya misalnya hendaklah diambil harganya iaitu binatang yang diburukan itu diperhargakan dia oleh 2 orang yang ‘adil dan dibelikan makanan dengan harga itu kemudian disedekahkan dengannya kepada fuqara’ dan masakin. Atau ia puasa sebilang-bilang mudnya yang dibelikan dengan harga binatang yang diburukan dia itu. Dan tiada memadai pada menyembelih dan memberi fidyah dan memberi makanan kepada fuqara’ dan masakin melainkan di tanah haram dan kepada segala masakin dan wajib berniat ketika menyembelih atau ketika dibahagikan melainkan dam ihsar memadalah pada tempatnya samada tanah haram atau halal dan demikian itu juga segala yang telah wajib itu muhassar dan dibahagikan kepada fuqara’ yang ditempat itu. Adapun puasanya harus barang tempat ia hendak puasakan. Dan tiada harus bagi orang yang ada di dalam tanah haram samada ia halal yakni tiada ihram atau haram samada ihram dengan haji atau umrah memburukan pemburuannya yang di dalam tanah haram itu dan tiada harus baginya mencabut atau kerat akan tumbuh-tumbuhannya yang tiada ditanamkan dia melainkan kayu yang menyakiti seperti kayu duri dan melainkan rumput adqar iaitu satu bagi daripada rumput berbau harum digunakan dia pada menjadikan dia atap rumah pada masa dahulu dan sayur-sayur dan rumput makan binatang dan yang dibuat-buat utat-utat. Dan wajib atasnya atas orang yang tersebut itu fidyahnya adapun fidyah pada perburuan itu seperti yang telah tersebut dahulu fidyahnya adapun fidyah mencabut atau kerat akan tumbuh-tumbuhannya itu dinyatakan dia dengan katanya dan pohon kayunya yang besarnya pada ‘uruf fidyahnya seekor lembu yang memadai pada qurban dan pohon kayu yang kecil sekira-kira kadarnya sepertujuh yang besar itu fidyahnya seekor kambing yang sampai umurnya dan yang kecil lagi dibayarkan harga dibeli dengan harganya itu makanan ia sedekahkan dengan dia kepada fuqara’ dan masakin tanah haram. Dan bermula haram Madinah dan waj pada Thoif hukumnya seperti tanah haram Mekah pada mengharamkan berburu padanya dan mencabut atau memotong pokok kayunya tetapi tiada baginya dam hanya haram jua.

 

Nota kaki:

1)     Perkara wajib haji yang jika ditinggalkan akan dikenakan dam

  • Niat ihram di miqat
  • Tidak melakukan perkara yang diharamkan semasa ihram
  • Mabit di Mudzalifah
  • Melontar di jamrah Aqabah
  • Mabit di Mina
  • Melontar di Ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik

 

 

 

 

Nota Daripada Tabung Web Tabung haji

Dam

 

Ta'rif

 

Menyembelih binatang dan penggantinya dam itu daripada makanan atau puasa yang wajib ditunaikan oleh orang yang mengerjakan haji dan umrah jika ia meninggalkan salah satu daripada perkara wajib haji/umrah ATAU melakukan perkara-perkara larangan semasa ihram ATAU menunaikan haji Tamattu', Qiran dengan syarat-syaratnya.

 

 

DAM IHSAR

 

 

 

 

 

 

DAM TERTIB DAN TAQDIR

 

 

 

DAM TERTIB DAN TA'DIL

 

 

 

DAM TAKHYIR DAN TA'DIL

 

 

 

DAM TAKHYIR DAN TAQDIR

 

 

 

 

 

Disediakan oleh : Muhammad Nuruddin Bashah 

Universiti Malaya

nota : Adalah lebih baik pembaca memiliki kitab ini (sekitar RM 16) dan cuba berguru atau membaca dahulu bab haji ini menggunakan alih tulisan rumi yang saya sediakan. Moga usaha ini menimbulkan minat kita memahami ilmu Islam serta memertabatkan kembali tradisi pengajian kitab tradisional.

 

 

 


Posted at 01:19 pm by Pendita Bitara
Komen membina  

Thursday, September 28, 2006
Bab Haji (8)

Alih Tulisan Kitab Kifayatul Muhtadiy Pada Menerangkan Sulamul Mubtadiy

Sheikh Muhammad Noor Bin Muhammad Bin Ismail Al Fatani, waris  Al A'lamah Sheikh Daud Al Fatani

KITAB NISKUN (kitab tentang Haji) (Bahagian 8)

 

Ini suatu fasal pada yang dinyatakan barang yang diharamkan dengan sebab ihram (dan haram atas orang yang ihram) samada ihram dengan haji atau umrah (10 perkara iaitu), haram atas lelaki memakai kain yang meliput akan badannya atau satu suku pada barang mana anggota samada yang meliputi itu dengan dijahitnya atau ditenunkan dia atau diselitkan suatu punca kainnya dengan seumpama jarum seperti kancing dan lainnya. Maka tiada mengapa disangkutkan umpama tali pedang dan diikat pinggang yang diselitkan dia atau disempulkan tiada mati. Dan haram menutup akan kepalanya atau setengahnya (1) atau rambut yang di dalam had kepala bagi lelaki dengan sesuatu yang dinamakan menutup pada ‘uruf seperti kopiah atau kain atau tanah atau inai yang pekat keduanya1 tetapi harus ia berpayung dan duduk di bawah shuqduf dan menghantarkan tangannya di atas kepalanya atau tangan orang yang lainnya. Dan harus ia menjunjungkan suatu atas kepalanya jika tiada menutup junjungan itu akan sekalian kepalanya dan ia qasadkan dengan dia menutupkan kepalanya. Dan harus ia menyelam di dalam air dan jikalau keruh sekalipun. Dan haram pada perempuan dan jikalau sahaya sekalipun (menutup mukanya) atau setengahnya jua dengan barang yang dinamakan menutup pada ‘uruf yang bersalahan (kecuali) barang yang tiada dinamakan dia menutup seperti dihantarkan tangan atas mukanya. Dan haram atas perempuan memakai dua sarung tangannya yang dinamakan dia dengan qaffazain. Dan harus ia balutkan tangannya dengan kain dan jikalau disimpulkan dia simpulan yang mati sekalipun. Dan haram pula atas lelaki dan perempuan menghilangkan bulu dan rambut dan romanya dan kukunya melainkan kerana dharurat seperti bulu yang tumbuh di dalam mata atau bulu kening atau rambut kepala yang menutupkan matanya dan kuku yang pecah yang menyakiti akan dia maka harus dihilangkan dia dan tiada dam atasnya. Dan haram atas lelaki dan perempuan memakai minyak pada rambut kepalanya dan janggutnya dan tali tudungnya dan segala bulu yang di muka dan kepala dengan sengaja dan jika pada hujung seurat rambut atau tempat rambut yang dicukurkan dia sekalipun. Dan haram atas lelaki dan perempuan yang ihram memakai bau-bauan yang diqasadkan harumnya (2) pada qholib seperti kasturi za’faran dan gaharu dan kapur dan jika campur pada suatu yang lain sekalipun samada dipakaikan pada zahir atau pada batinnya atau pada pakaiannya. Dan haram memakai segala minyak bau-bauan dan seperti minyak atar dan lainnya. Dan haram pula berburu binatang yang dimakan lagi yang liar (3) lagi binatang di daratan samada binatang atau burung dan belalang yang diperanakkan antaranya dan antara binatang yang lainnya. Dan haram atasnya akad nikah samada qabul atau ijab lagi tiada sah bagi dirinya dan maulinya (wali) atau wakilnya dan jika muwakkilnya itu halal sekalipun. Dan tiada haram atasnya ruju’ akan isterinya atau jadi saksi pada nikah. Dan haram atas laki-laki dan perempuan yang ihram jima’ dan mengeluarkan mani dengan anggotanya dengan ikhtiarnya lagi sengaja dan mengetahui ia akan haramnya dan ia ingat akan ihramnya. Dan lagi haram atas keduanya bergurau-gurau dengan syahwat atau tiada dengan syahwat (4)seperti mengucup akan perempuan atau dipeluknya. Maka adalah sekaliannya perkara yang diharamkan atas orang yang ihram itu mewajibkan fidyahnya jua dan sah hajinya.

 

Melainkan akad nikah itu tiada sah dan tiada jadi pada hajinya dan tiada fidyahnya. Dan melainkan jima’ orang yang haji sebelum lagi tahallul awwal atau orang yang umrah sebelum lagi bercukur jadi fasad hajinya dan umrahnya. Dan berdosa ia samada yang menjima’kan atau yang dijima’kan dia dan samada jima’ itu pada qubul atau dubur dan jikalau bagi binatang sekalipun dan samada pada yang hidup atau yang mati tetapi wajib ia yakni orang yang tersebut itu samada yang jima’kan atau yang dijima’kan dia tamamkan keduanya (selesaikan) yakni umrah dan haji di dalam fasadnya dan wajib ia qada’ pada tahun hadapannya dengan bersegera. Dan jika haji atau umrahnya sunat sekalipun. Dan wajib atasnya yakni lelaki (5)yang menjima’ jua apabila sempurna segala syarat daripada keadaannya berakal lagi baligh lagi mengetahui lagi dengan ikhtiarnya dan adalah jima’ itu dahulu daripada tahallul awwal dan yang dijima’kan isterinya, fidyahnya satu unta maka jika tiada dapat maka seekor lembu maka jika tiada tiada dapat maka tujuh kambing maka jika tiada dapat dikira-kira harga unta dibeli makanan disedekahkan dengan dia maka jika tiada dapat dikira-kirakan cupaknya daripada yang tersebut itu dan ia puasa tiap-tiap cupak sehari dan jikalau ada lagi kurang daripada secupak, dipuasakan sehari. Ada pun yang dijima’kan dia tiada wajib atasnya fidyah semata-mata samada ia isterinya atau tiada dan samada ia muhrim atau tiada tetapi berdosa ia dan batal hajinya dan wajib atasnya qada’nya. Dan wajiblah orang yang luput wuquf di ‘Arafah sebab tiada sampai ke ‘Arafah pada waktu iaitu dahulu daripada fajar wajib atasnya ia tahallul dengan ia mengerjakan amalan umrah iaitu tawaf dan sa’i jika tiada ia sa’I qudum (dan bercukur) dan tiada berhajat kepada niat umrah padanya tetapi wajib ia niat tahallul dengan amalan umrah dan bukannya umrah maka tiada memadai bagi umrah yang wajib atasnya (kemudian wajib atasnya ia qada’ dengan bersegera tahun hadapannya dan jikalau hajinya sunat sekalipun. Dan wajib atasnya menyembelih seekor kambing daripada permulaan masuk pada haji qada’nya dan harus disembelihkan pada masuk waktu ihram dengan haji. Dan demikian lagi wajib tahallul orang yang di hasor yakni ditahan akan dia oleh seteru samada muslim atau kafir sekalian jalan masuk ke Mekah kerana hendak tamamkan hajinya atau umrahnya wajib ia tahallul dengan niat tahallul dan bersyukur dan sembelih fidyahnya seekor kambing dan wajib didahulukan menyembelih atas bersyukur dan wajib diniatkan pada keduanya akan tahallul bahawa ia niatkan keluar daripada niskun(haji) nya dengan sebab tertahan itu. Dan harus ia tahallul daripada haji atau umrah dengan syarat bahawa ada pada waktu niatnya akan haji atau umrah ia niatkan manakala datang sakit atau habis bekalannya ia hendak tahallul maka harus ia tahalul dengan bercukur dan menyembelih dan didahulukan menyembelih atas bercukur dan wajib berniat tahallul pada ketika menyembelih dan bersyukur dan jika disyaratkan pada ketika ia niat ihram akan manakala hasil uzur ia jadi halal maka manakala hasil uzur itu ia jadi halal sendirinya dengan tiada berkehendak kepada bercukur dan fidyahnya iaitu seperti ia berniat Aku ihram dengan haji jikalau hasil bagiku uzur sakit atau habis bekal atau sesat jalan, atau umpamanya Aku jadi halal maka apabila hasil uzur itu jadi halal ia dan tiadalah suatu atasnya.

 

Nota kaki:

 

1)       Inai atau tanah yang pekat seolah-olah tempelan ketulan inai atau tanah yang menjadi penutup kepala bagi lelaki. Hukumnya juga tidak boleh.

2)       Dalam satu hadis daripada Aisay RA, bahawa beliau pernah memberi minyak wangi kepada Rasulullah untuk ihramnya dan baginda belum lagi bertahalul dan bertawaf (Muttafarun Alaih). Di sini hukum berminyak wangi sebenarnya sunnah, walaupun ada halangan daripada mazhab Syafie atas maslahah tertentu hari ini dimana minyak wangi di Mekah akan menimbulkan riya', angkuh dan kehilangan khusyuk dalam ibadat haji.

3)       Dari Aisay RA, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda " Lima macam binatang jahat  yang boleh dibunuh dalam tanah halal atau tanah haram iaitu kala jengking, burung helang, burung gagak, tikus dan anjing buas".(Hadis sahih-rujuk Bulughul Maram).  Dalam hadis Riwayat at Tarmizi, menyebut bagaimana Rasulullah menolak pemberian hadiah daging daripada seorang sahabatnya di Makah padahal daging itu diburu oleg sahabat itu kerana ingin menghadiahkan baginda yang sedang berihrah. Maka Nabi mengatakan daging yang ebrtujuan untuk orang berihram juga dilarang oleh Islam. (Hadis Hassan Sahih-rujuk bahrul Mazi). Namun begitu, di dalam Sabilul Muhtadiy, ada menyebut bahawa dibenarkan kita memakan daging yang dibeli daripada orang lain dimana kita yang berihram tidak terlibat dnegan perburuan itu. Di Dalam Sabilul Muhtadiy juga menyebut bahawa binatang yang tidak diharam sembelih adalah binatang jinak yang diternak atau binatang buas yang tidak dimakan oleh kita.

4)       Jima' isteri diantara 2 tahalul iaitu selepas tahalul awal sebelum tahalul thani, maka hajinya rosak dan perlu di selesaikan juga haji itu serta segera diqadha' haji itu selepas tahun itu walaupun haji yang sunat serta umrah.

5)       Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud menyatakan bahawa dalam tahalul awal iaitu selepas melontar di Jamrah Aqabah dan bercukur, maka boleh melakukan apa yang diharamkan kecuali bersama isteri, selepas tawaf Ifadhah (rukun) maka boleh lah bersama isteri (tahalul thani =melontar, bercukur-tawaf ifadhah). Ini juga yang ditegaskan oleh Imam Al Ghazali.

 

Disediakan oleh : Muhammad Nuruddin Bashah 

Universiti Malaya

nota : Adalah lebih baik pembaca memiliki kitab ini (sekitar RM 16) dan cuba berguru atau membaca dahulu bab haji ini menggunakan alih tulisan rumi yang saya sediakan. Moga usaha ini menimbulkan minat kita memahami ilmu Islam serta memertabatkan kembali tradisi pengajian kitab tradisional.

 

 try buka blog ni : http://albazrah.blogspot.com/


Posted at 05:21 pm by Pendita Bitara
Komen membina  

Sunday, September 24, 2006
Keilmuan Politik dan Aplikasi; saranan Ulama' Tradisi

Keilmuan dan Aplikasi Politik ; saranan ulama' tradisonal Nusantara.

 

Sebelum membuka bicara tajuk pada kali ini mari kita soroti persoalan ini terlebih dahulu. Persoalan yang selalu bermain di minda melayu adalah, adakah ulama' tradisonal Melayu mempunyai keilmuan yang setara dengan ulama' Asia barat? Adakah mereka ini alim? Bukankah mereka ini ortodoks?  Pertanyaan ini berlegar lantaran melihat kitab-kitab lama seperti Sabilul Muhtadiy, Bughyatul Tullab, Fathul Mannan serta lain-lain eksiklopedia fiqh  berbahasa melayu tidak menjadi rujukan bagi tesis, kajian ilmaih di dalam bidang syariah Universiti antarabangsa malahan tempatan juga. Hal ini dikecualikan apabila sesebuah jabatan seperti jabatan pengajian melayu, pengajian falsafah atau sejarah tradisonal Islam berminat mengkaji kedatangan Islam serta keilmuan ulama' nusantara. Tetapi bukanlah mereka  menjadikan khazanah ini sebagai rujukan utama untuk sandaran fatwa atau hujah konsensus dalam kajian hadis atau fiqh.

 

          Sepanjang pengetahuan saya, ulama' melayu adalah ulama' yang tawadhuk walaupun ada diantara mereka pernah mengajar di Mekah dan Madinah sekalipun. Mereka mengajar dalam bahasa Arab sebaliknya banyak menulis kitab berbahasa melayu-jawi. Hal ini kerana mereka terlalu menyayangi tanahair mereka dan inginkan peninggalan yang berterusan dalam persuratan ilmu agama berbahasa melayu.

 

          Mereka lebih gemar meneliti serta mengambil fatwa-fatwa ulama' ashab Syafie (ulama' fiqh di bawah mazhab Syafie) serta merumuskan secara ijmal (umum) dalam kitab mereka tanpa memberi asal fatwa serta kaedah yang digunakan oleh ulama' besar rujukan mereka. Fatwa-fatwa daripada Sheikh Ramli, Imam Nawawi, Sheik Ibnu Hajar Haitami serta banyak lagi merupakan antara rujukan yang kerap dipaparkan dalam kitab-kitab fiqh jawi lama. Bermakna kata belajar kitab jawi bersamaan dengan belajar ilmu dan fatwa Imam Nawawi dan sebagainya. Akan tetapi disebabkan ramai yang ingin mendapatkan rujukan yang asah dan tulen, mereka seringkali terus merujuk kepada kitab asal Imam berkenaan. Walau apa pun, ini adalah bermakna ulama' melayu adalah alim dan kealimannya diiktiraf oleh ulama'-ulama' Mekah dan Mesir ketika itu. Percetakan kitab jawi lama terdapat di Mesir dan Makaah dan di bawah seliaan Sultan Turki Usmaniyyah. Namun begitu masih terlalu banyak kitab berbahasa Arab tulisan ulama' melayu yang tidak kita ketahui. Mengapa? Kerana kitab ini tidak sesuai diajar dimasjid-masjid. Lantaran itu kegemilangan ulama' melayu dalam penguasaan bahasa Arab sering dipertikai orang yang jahil serta sinis dengan karya mereka.

 

Tulisan saya pada kali ini sebenarnya ingin membongkar sebahagian kecil pemikiran politik yang terbenam dalam karya-karya ulama' tradisonal Melayu yang rata-ratanya bermazhab Syafie serta beraliran khalaf dalam penafsiran Al Quran dan Aqidah. Sheikh Shmad Al- Fatani umpamanya pernah berkata bahawa mempelajari ilmu siasah atau politik itu adalah suatu fardhu kifayah. Tuntutan mentadbir negara secara Islam adalah keperluan untuk melaksanakan kesemua rubu' dan furu' Islam secara syumul dan sentosa. Bagi beliau siasah bertujuan untuk  "membaikkan rakyat dengan menunjukkan mereka itu kepada jalan-jalan yang melepaskan mereka itu daripada tiap-tiap kekeruhan pada dunia  dan pada akhirat". Beliau menolak fahaman barat ketika itu yang menggagaskan politik yang berteraskan nafsu dan materialisme. Beliau dalam beberapa hal bersetuju dengan saranan kebangkitan ulama' reformis seperti Muhammad Abduh yang beraliran tajdid. Namun begitu, beliau pernah menjejaki Muhammad Abduh bersama anak muridnya iaitu Tok Kenali untuk membincangkan khilafiyyah yang mula diriuhkan oleh tokoh-tokoh yang berfahaman tajdid salaf asia barat. Beliau tidak bersetuju sikap membidaahkan umat Islam secara sewenangnya tanpa hujah yang konkrit dan jelas. Beliau menggagaskan kesatuan dan ketaatan kepada Sultan Turki atas dasar yang jelas dan bukannya Pan-Turkisme yang berunsur prejudis sesama muslim sedunia (antara aliran khalaf dan salaf). Antara faktor kegagalan Pan-Turkisme adalah disebabkan gagasan reformis Islam yang bercanggah jauh daripada fahaman penganut Islam yang sedia selesa dengan tradisi bermazhab mereka.

 

          Sheikh Ahmad  juga menyebut lagi, " ….ilmu siasah itu daripada anbiya' atas khawas san a'wam, pada zahir dan batin mereka itu. Dan daripada segala raja-raja dan salathin (sultan-sulatan) atas mereka itu  pada zahir mereka itu jua". Apakah yang cuba diungkapkan oleh ulama' besar ini? Pesanan beliau ini mengambarkan akan hakikat nubuwwah rasul-rasul adalah untuk membawa agenda ubudiyyah serantau atau seantarabangsa melalui agenda politik yang sejati. Ini menafikan bahawa Islam menciplak idea politik barat dalam menyusun struktur-struktur politiknya. Sebagai contoh, kita tidak boleh mengatakan refleksi kepada kemuncak penyusunan politik Yunani ialah terhasilnya idea politik Al Mawardi dan Al Farabi. Hakikatnya agenda politik adalah agenda fitrah kemanusiaan dan berlanjutan sedari zaman nabi Allah Adam A.S lagi. Setiap anbiya' adalah pembawa misi iaitu;

Misi pertama : Memperjuangkan tauhid sepertimana yang telah diwajibkan ke atas semua manusia. Agenda ini tidak akan kunjung malap serta diteruskan pula oleh para pengggerak Islam kontemporari.

Misi kedua : Memperjuangkan syariat yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada setiap Rasul.

 

Di sini terbuktilah ulama' Melayu yang berteraskan aliran khalaf (yang dikatakan sebagai ortodoks dan jumud) sebenarnya juga menyahut seruan massa untuk mempertahankan kebudayaan Melayu Islam, keutuhan agama melalui institusi kesultanan dan sebagainya. Dalam beberapa hal, ulama' Khalaf berbeza pendapat dengan tokoh agama reformis dalam ruang politik. Aspek yang menjadi perselisihan adalah method politik serta warna-warna politik yang diceburi. Ulama' tradisi yang sememangnya rapat dengan para Sultan Melayu memilih untuk mengukuhkan institusi istana berteraskan Islam kerana memandang inilah sahaja institusi yang berhak untuk melaksanakan syariat Islam secara syumul. Hal Reformis yang lebih terbuka tidak menghairankan memandangkan mereka bukanlah berketurunan Melayu yang asli dan sejati. Namun saranan mereka telah membuka lebih banyak pintu pendidikan yang setanding dengan pendidikan barat, keinginan untuk mengubah mentaliti dan bangsa mereka serta membawa pembaharuan laras politik yang lebih bertenaga.

 

          Sheikh Ahmad Al Fatani juga menegaskan bahawa " Dan wajib atas sekalian Muslimin bersungguh-sungguh mencari akan jalan dengan tadbir dan siasah, dan belajar dan mempelajar akan anak-anak kita akan segala wasilah bagi mendirikan segala hukum syara' daripada segala ilmu siasah dan ilmu syara' hingga dapat mendirikan seperti barang yang zahir". Institusi pondok telah lama memancarkan kewibawaan mereka dalam memacu perjuangan menegakkan pemerintahan Islam. Akan tetapi keilmuan mereka seolah diperosok di penjuru dunia lantaran momokan bahawa mereka adalah golongan yang jumud dan tidak setanding dengan ulama' Timur Tengah yang lain. Hakikatnya, perjuangan Melayu adalah perjuangan bangsa-bangsa kecil (yang tidak tersohor perjuangan mereka). Ulama' Melayu lebih gemar mengajar anak watan mereka sambil berjihad melawan kekuasaan yang menggugat Islam seperti Siam dan Britain. Apabila datangnya sistem pengajian universiti yang berteraskan kajian ilmiah, maka rujukan tidak melalui kitab lama ini melainkan terus melalui kitab yang lebih lama iaitu secara langsung daripada sumber rujukan kitab jawi berkenaan. Inilah antara faktor yang menenggelamkan karismatik pengajian pondok.

 

          Dr. Eaman Mohamed Abbas telah menerbitkan kajian beliau yang bertajuk Sultan Abdul Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiyyah (2002). Buku berkenaan telah memberi gambaran jelas berkenaan perana Sheikh Ahmad Al Fatani yang lebih sinonim dengan Faridatul Faraid. Antaranya menyatakan " Pada tahun 1908, Al Sheikh Ahmad Al Fatani meninggal dunia dan dikebumikan di Mekah. Beliau telah memainkan perana  besar dalam menyebarkan kesedaran Islam di kalangan bangsa Melayu Raya. Tiada seorang tokoh pun yang mempunyai ciri-ciri keperibadian dan kelayakan ilmu yang boleh menggantikannya di rantau tersebut. Dengan pengaruh rancangan Kesatuan Islam (Pan-Islamisme) yang dicanangkan oleh Sultan Abdul Hamid, orang Melayu mengetahui kedudukan mereka yang penting dalam Dunia Islam. Ini merupakan permulaan obor kebangkitan ummat Melayu bagi menentang penjajah Belanda dan Britain". Pengupasan ini jelas menunjukkan ulama' Petani telah awal mendominasi gerakan kemerdekaan fikrah dan pembebasan tanah anak watan daripada tangan-tangan rakus emperialis barat. Kita juga melihat di mana Tengku Mahyuddeen yang merupakan pewaris akhir kerajaan Petani telah membantu British menyusun Force 136 demi membebaskan tanah Melayu daripada Jepun yang zalim. Bayarannya adalah, Petani diletakkan dibawah pengaruh Siam yang durjana.

 

          Adab dan siasah beliau amat tertib  dan berakhlak mulia. Ulama' Melayu tidak biadab dengan Sultan Melayu seperti sesetengah gerakan dakwah atau gerakan kemerdekaan. Surat-surat beliau kepada Raja Melayu seperti Sultan Zainal Abidin Terengganu membuktikan akhlak dan rasa rendah diri beliau di hadapan raja Melayu, walaupun kita mengetahui hakikat ketinggian darjatnya berbanding raja-raja pada waktu itu. Beliau menggagaskan 'principle exclusiveness' mengenai Melayu dan Islam. Beliau kental dalam membawa agenda tradisi Melayu yang berunsur syara' Islam. Jelas dalam kitabnya Siasah Wa Tadbir menyatakan bahawa " Urusan Islam adalah pertama-tama dan utama. Urusan lain adalah sambil-sambil sahaja. Barangsiapa mendahuluka urusan-urusan lain daripada Islam agamanya, maka telah khianat kepada agamanya".

 

          Politik ulama' Melayu seperti ulama' Petani, Banjar, Aceh dan Pontianak adalah berhasrat untuk meninggikan tamadun Melayu. Tamadun ini tidak popular semenjak kehadiran berbondong-bondong sistem pedidikan barat. Ketinggian ilmu politik yang membangkitkan ketamadunan Melayu Islam telah dipendam dan ditenggelamkan apabila ketiadaan usaha memartabatkan institusi Sultan Melayu yang  berkarisma. Kelalaian Istana dalam mempertahankan hak mereka telah melumpuhkan lagi agenda mulia ini.

 

Pembongkaran semula idea-idea menggugat ulama' melayu lama ini bukanlah suatu perkara yang main-main. Agenda ini perlu disepadukan seiring dengan usaha memartabatkan tulisan jawi dan pengajian karya-karya mereka. Mengkaji perlu diperdalamkan sehingga kepada nazam-nazam syair mereka juga kerana pemikiran mereka disajikan dalam bentuk cerita, puisi, syair dan kitab-kitab yang ilmiah. Itulah seni ulama' Melayu yang sekiranya dibiarkan berkembang, sistem pondok tidak akan kelihatan usang sebegini, sebaliknya turut akan mempertingkatkan gaya pengajian, isi pengajian dan sebagainya. Dielektik tekanan penjajah dan pemerintahan kini yang anti pengajian kitab lama ini, menyebabkan penggerak pondok bertindak mempertahankan sistem lama dan akhirnya kelihatan rigid. Walhal, kitab karangan ulama' Melayu bukanlah terlalu usang dan lama berbanding kitab tokoh besar seperti Imam Al Ghazali, Imam Nwawi dan sebagainya yang semestinya lebih awal lagi. Pada saya momokan dan labelan yang mengusangkan sistem ini serta turut juga mengusangkan idea menggugat yang tersembunyi dalamnya. Moga Allah merestui penggerak pondok SeNusantara.

 

Muhammad Nuruddin Bashah

Universiti Malaya

 

Rujukan :

1)      Al Fatawal Fathaniyah Jilid 2, Khazanah Fathaniyah 1996.

2)      Kepelbagaian Pemikiran dan Perjuangan Sheikh Ahmad Al Fatani: Kesan Dahulu dan Sekarang, dibentang di Seminar Pemikiran Sheikh Ahmad Bin Mohd Zain Al Fataniy. Dewan bahasa Dan Pustaka. 2002

3)      Koleksi Khazanah Sheikh Ahmad Al Fatani, dibentang di Pameran Manuskrip Dan Khazanah Ulama'-ulama' Kelantan dan Patani, 1992.

4)      Beberapa kitab jawi lama yang berkaitan.

 

         


Posted at 07:37 am by Pendita Bitara
Komen membina  

Tuesday, September 12, 2006
Bab Haji (7)

Alih Tulisan Kitab Kifayatul Muhtadiy Pada Menerangkan Sulamul Mubtadiy

Sheikh Muhammad Noor Bin Muhammad Bin Ismail Al Fatani, waris  Al A'lamah Sheikh Daud Al Fatani

KITAB NISKUN (kitab tentang Haji) (Bahagian 7)

 

Dan setengah daripadanya yakni daripada sunat haji mengucap Talbiah iaitu LabbaikaLlahuma labbaik, Labbaikala syariika lakalabbaik innal hamda wan ni’mata laka wal mulk la syariika lak). Ertinya aku kenankan seruan Engkau akan sebagai kenan yang berganda-ganda, hai Tuhanku aku kenankan seruan Engkau akan sebagai kenan yang berganda-ganda, aku kenankan seruan Engkau akan sebagai kenan yang berganda-ganda, tiada yang bersekutu bagi Engkau, aku kenankan seruan Engkau akan sebagai kenan (makbulkan) yang berganda-ganda, bahawa  segala pujian dan segala nikmat bagi Engkau, dan segala pertitahan bagi Engkau. Maka diulangkan talbiah itu tiga kali berturut-turut kemudian daripada berniat ihram) samada niat ihram haji atau umrah (dan memperbanyakkan dia selama ia di dalam ihram) hingga ia masuk tawaf pada umrah dan masuk melontar jumratul ‘aqabah pada ihram haji. Dan sunat pula ia mengucap selawat atas Nabi) SAW dan yang afdhalnya seperti selawat di dalam tahiyat pada sembahyang iaitu : Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala aali Muhammad, kama barakta ‘ala Ibrahim wa ‘ala aali Ibrahim, wa barik ‘ala Muhammad wa a’la aali Muhammad, kama barakta ’ala Ibrahim wa ‘ala aali Ibrahim, fil a’lamin, innaka hamidum majid. Dan dibacakan selawat itu kemudian daripada tiga kali talbiah dan mengucap pula kemudian daripadanya: Allahumma inna nasaluka ridhoka wal jannah, wa na’uzubika min saqhdhika wan nar. Ertinya Hai Tuhanku, sesungguhnya kami pohonkan keredhaan Engkau dan syurga dan kami berlindung dengan Engkau daripada murka Engkau dan daripada api neraka. Dan setengahnya ia sembahyang dua rakaat) diniatkan sunat ihram 1 jika waktu ihram itu bukan waktu tahrim iaitu waktu yang diharamkan sembahyang padanya dan lagi sunat memakai dua kain ihram dan dua ni'al (na'lun-mufrad) yang baru keduanya 2 dan setengahnya mengangkat suaranya dengan talbiah. Jua adapun selawat atas Nabi diperlahankan dia, demikian juga dan berkekalan sunat talbiah itu selama ada belum mulai masuk pada tahallul awwal samada ia mulaikan dengan melontar atau dengan tawaf dan sa’i .Dan setengahnya masuk ke Mekah dahulu daripada wuquf di ‘Arafah supaya dapat tawaf qudum 3 dan sunat bagi imam (ikutannya/konsultan haji) atau naib-nya(pembantunya) membaca khutbah pada hari ketujuh kemudian daripada sembahyang Zohor iaitu satu khutbah jua menyuruh padanya akan sekalian hujjaj (orang yang naik haji) naik kepada Mina pada pagi hari yang ke-lapan dan mengajarkan mereka itu akan segala amalan haji dan setengah daripadanya bahawa naik Imam atau beserta dengan orang haji itu waktu pagi hari ke-8 dan sembahyang Zohor dan Asar dan Maghrib dan Isya’ di Mina dan bermalam di Mina hingga keluar matahari hari ke-9. Demikian lagi membaca dua khutbah yang pendek pada hari ‘Arafah di masjid Ibrahim dahulu daripada sembahyang Zohor kemudian daripada masuk waktunya dan mengajar segala manasik pada yang pertamanya mengkisahkan (menceritakan/memberitahu) mereka itu atas membanyakkan doa dan zikir pada ketika di wuquf dan apabila berdiri ia kepada yang keduanya yang muezzin dan menyudahi akan khutbah itu serta dengan sudah azan itu. Dan setengah daripada sunat membaca dua khutbah pada hari raya supaya mengajarkan padanya manusia akan ifadhah dan melontar dan lainnya kemudian daripada melontar jumratul ‘aqabah (dan hari ke-12) daripada bulan Zulhijjah supaya mengajarkan padanya masuk bahawa harus pada hari itu nafar yang pertama. Dan setengahnya mandi sunat ihram waktu hendak ihram samada dengan haji atau umrah 4 dan mandi sunat masuk Mekah dan yang afdhalnya di telaga yang bernama zi thowi di luar Mekah dan mandi sunat wuquf di ‘Arafah kemudian daripada gelincir matahari pada hari itu dan mandi sunat wuquf mash’iral haram kemudian daripada setengah malam ke-10 (dan mandi tiap-tiap hari kerana melontar jamrah dari hari tashriq) samada dahulu daripada gelincir atau kemudian (dan sunat ziarah ke Madinah kemudian daripada selesai mengerjakan haji dan niatkan hendak ziarah akan masjid Rasululah dan makamnaya yang mulia SAW.

 

Nota kaki:

  1. Solat sunnat Ihram boleh dilakukan apabila sahaja berihram. Akan tetapi haram dilakukan pada waktu Tahrim. Cuma di Mekah (tanah haram), solat sunat Ihram boleh dilakukan walaupun pada waktu tahrim.

 

  1. Sunat memakai nia'l (kasut) baru. Tetapi dalam kitab Sabilul Muhtadiy, disebutkan bahawa sebaiknya berjalan kaki tanpa beralas apabila memasuki Mekah. Akan tetapi sepanjang proses Haji adalah digalakkan berkasut yang baru. Walaupun Nabi melarang kita memakai celana (seluar berjahit  dan Muza (khuf/stokin kulit) akan tetapi apabila kita ketiadaan kain pinggang serta kasut nia'l, maka dibolehkan kita memakai muza dan seluar celana- hadis Hasan Sahih Imam Tarmizi)

 

  1. Sunat Tawaf Qudum (tawaf sunat) bagi sesiapa yang masuk ke Mekah dengan tiada berihram lagi atau pun ia berihram dengan haji Ifrad atau Qiran. Dan pastikan tawaf ini lebih awal sebelum Wuquf Di Arafah agar tidak bertembung dengan tawaf Rukun(Fardhu). Akan tetapi perlu diingatkan bahawa umrah tidak disunatkan Tawaf Qudum kerana diwajibkan membuiat tawaf Rukun. Tawaf Rukun Umrah adalah menyamai  atau termasuk sekali tawaf Qudumnya.

 

  1. Wanita haid dan Nifas juga sunat mandi sunat dan niatkan untuk bersihkan diri. Sunat juga mempebaharui mandi sunat apabila berubah bau badan serta setiap kali ingin melontar, wuquf dan sebagainya.

 

 

Disediakan oleh : Muhammad Nuruddin Bashah 

Universiti Malaya

nota : Adalah lebih baik pembaca memiliki kitab ini (sekitar RM 16) dan cuba berguru atau membaca dahulu bab haji ini menggunakan alih tulisan rumi yang saya sediakan. Moga usaha ini menimbulkan minat kita memahami ilmu Islam serta memertabatkan kembali tradisi pengajian kitab tradisional.

 


Posted at 08:59 am by Pendita Bitara
Komen membina  

Monday, September 11, 2006
Perbahasan Isu Kalam Allah Menurut Tohawi....

Huraian Berkenaan Isu Kalam Allah menurut aliran at-Tohawiyyah, As-Sanusiyyah dan al-Asyairah.

 

Imam Tohawi berkata;

 

Dan bahawasanya Quran itu perkataan Allah Taala, daripadanya nyata ia sebagai berkata, dan menurunkan ia akan dia atas pesuruhnya sebagai wahyu, dan membenarkan akan dia oleh sekalian yang beriman atas demikian itu sebenar, dan yakin mereka itu akan bahawa Quran itu perkataan Allah Taala dengan sebenar, tiada ada ia makhluk seperti perkataan makhluk, maka barang siapa mendengar ia akan dia maka menyangka ia akan bahawasanya perkataan manusia maka sungguhnya telah kafir ia. Dan sesungguhnya  telah mencela akan dia akan dia oleh Allah Taala dan mencacatkan ia akan dia dan menjanjikan ia akan dia dengan api neraka Saqar kerana berfirman oleh Allah Taala : Selagi aku masukkan akan dia ke dalam  api neraka yang bernama Saqar (Surah Al Muddathir:25). Maka tatkala menjanjikan Allah Taala dengan api neraka Saqar akan mereka itu yang berkata :tiada ini Quran melainkan perkataan manusia(Surah Al Muddtahir;26). Nescaya mengetahui kita dan yakin kita akan bahawasanya Quran itu perkataan  tuhan yang menjadikan manusia, dan tiada menyerupai ia akan perkataan manusia. (rujuk kitab Perisai Bagi Sekalian Mukallaf, Sheikh Abdul Qadir Al Mandili 1961)

------------------------------------------------------

Untuk memahami lagi isu ini secara terperinci marilah kita merenung pula lirik kumpulan Nasyid Mawaddah.

 

Diantara sifat Tuhan yang Wajib lagi Mulia,

Kalam namanya, Ertinya tuhan berkata-kata,

Dengan bahasa tersendiri,

Bahasanya tidak sama,

Dengan Bahasa makhluknya,

Bahasa makhluk, Tuhan yang ciptakan.

 

Ia sudah ada di azali, tidak diikuti,

Dengan bahasa dan zaman,

Sepertinya zatnya adalah dalil,

Bahasa Qadim lagi azali.

 

Bahasa Allah, rata tersendiri,

Tidak dapat difikir,

Tidak dapat dibayangkan,

Tidak sama dengan bahasa makhluk ciptaan Tuhan,

Tuhan bercakap tidak terbatas,

Tidak berhuruf,

Tidak bersuara.

Tuturannya tiada ada yang dahulu dan tidak ada yang kemudian,

 

Maha Suci Tuhan bahawasanya

Tidak dapat digambarkan

 

Al Quran adalah bahasa malaikat, bahasa Rasul,

Terjemahan bahasa Tuhan,

Kita hanya dapat faham bahasa Tuhan dari bahasa Al Quran

Bahasa Tuhan tidak macam bahasa Al Quran,

Maha suci Tuhan bahasanya sedemikian,

 

Jika kita tidak dapat fikirkan dan bayangkan,

Sudah tentu itu mengikut pegangannya,

Jangan diubah lagi keyakinan mengikut sangkaan…

--------------------------------------------------------------------

Baik untuk lebih jelas dan faham bahawa Al Quran itu bukan makhluk dan akan tetapi bukanlah bahasa Allah Taala yang hakiki, maka saya bawakan pula matan Aqidah An Najin karangan Al A'lamah Sheikh Zainul Abidin Bin Muhammad Al Fatani Rahimahumullah.

Beliau berkata :

 

Kalam adalah sifat yang Qadim yang ada pada zat Allah dan dinamakan dengan beberapa macam nama sesuai dengan kita bacakan Kalamullah yang ertinya makhluk Allah namun bukan karangan makhluk. Dan yang  ditulis oleh Sheikh as Sanusi dan beberapa ulama' lain yang mengatakan huruf-huruf Al Quran itu adalah Madlul kalamullah (petunjuk atau dalil adanya kalam Allah) yang azali yang ada pada Zat-Nya. Kerana itulah Al Quran dinamakan Kalamullah kerana ia menunjukkan maksud Kalam  yang ada pada zat Allah. Ahli salaf sepakat (bahawa) haram mengatakan  Al Quran itu makhluk dan yang dikehendaki lafaz yang diturunkan kepada Nabi SAW, melainkan saat belajar dan mengajar agar tidak menimbulkan prasangka tentang kebaharuan sifat yang ada pada Zat-Nya. Orang yang mengatakan Al Quran itu makhluk adalah fasiq namun tidak sampai kafir, dan orang yang dapat katakan kafir adalah orang yang mengatakan Kalamullah yang ada pada zat Allah itu makhluk…..

 

Berkata lagi beliau:

…….Dan Kalamullah yang Qadim itu tidak bercerai dari Zat-Nya yang Qadim yang tiada berhuruf dan tiada bersuara seperti yang disebutkan di atas dan Kalamullah tidak termasuk ke dalam Kitab Al Quran, Taurat, Zabur dan Injil kerana Kalamullah selamanya tidak bercerai dari Zatnya.

 

Sheikh zainal Abidin kembali menerangkan pendapat Imam As Sanusi:

 

Para ulama' sepakat bahawa kalamullah itu tidak terdapat pada 2 zat, tidak diucap oleh 2 orang dan tiada yang berkata Kalamullah itu melainkan Allah jua. Kerana itu hubungan Tilawah dan Qiraah bagi Kalamullah seperti hubungan bayang-bayang dengan empunya bayang-bayang. Tentunya tilawah(bacaan Al Quran) itulah Kalamullah dan siapa yang mengatakan bayang-bayang itulah yang empunya bayang-bayang, tentulah tilawah itulah Kalamullah dan siapa yang mengatakan  bayang-bayang bukan yang empunya bayang-bayang hanya menunjukkan adanya yang mempunyai bayang-bayang, ia mengatakan tilawah hanya menunjukkan Kalamullah. Para ulama' Ahlu Sunnah menyatakan Al Quran itu Kalamullah yang Qadim bukan makhluk kerana khuatir akan menimbulkan kesamaran. Kalau dikatakan Al Quran itu baharu  dapat mengakibatkan ada yang mengatakan kalamullah yang ada pada zat Allah itu juga baharu seperti yang dikemukakan terdahulu bhawa iktiqad sebegitu kafir.

 

Sheikh Zainal Abidin menegaskan lagi berkenaan cara traksaksi kalam Allah kepada Malaikat dan seterusnya kepada umat para nabi-nabi :

 

Semua kitab Allah yang diturunkan dalam bahasa Arab kemudiannya dari Bahasa Arab itu diterjemahkan oleh setiap Nabi untuk umatnya ke bahasa umat masing-masing. Jibrail yang mendengar  Kalamullah yang tidak mempunyai huruf dan suara dan tidak mempunyai arah tertentu, dan dari Kalamullah itulah diambil makna Al Quran kemudian Allah memrintahkan Israfil mengambil lafaznya dari Luh Mahfuzd. Maka setiap huruf Al Quran di Luh Mahfuzd itu seperti gunung Qaf dan pada  setiap huruf mempunyai beberapa makna yang tidak diketahui semuanya  oleh makhluk melainkan Allah jua mengetahui. Maka lafaz dan makna itu yang diturunkan kepada Nabi SAW yang diambil oleh Jibrail dari Luh mhafuzd dan kemudian diimlakkan  kepada malaikat yang bernama Safrah. Yang dimaksudkan dengan diimlakkan yakni diberikan lafaz satu demi satu agar ditulis dan malaikat Safrah itu berada di Baitul Izzah pda langit dunia dan kemudian  dicantumkan ke dalam Suhuf. Kalau Allah ingin menurunkan satu daripadanya kepada Nabi SAW, maka Allah berfirman kepadanya tanpa huruf dan suara dan tidak mempunyai bentuk bahasa tertentu diturunkan kepada Nabi SAW sedikit demi sedikit sehingga seluruhnya diturunkan dalam waktu sekitar 20 tahun.

 

Perbahasan:

 

Perlu diketahui bahawa  ulama' ilmu aqidah aliran Khalaf yang berteraskan disiplin keilmuan kalam (ilmu hujah) telah mendefinasikan kalam kepada 4 bahagian yang berbeza.

 

1)      Kalam Ismi : iaitulah ilmu tentang kalam Allah yang ada pada diri Allah itu sendiri. Keilmuan ini dibahaskan oleh ulama' aliran salaf dan khalaf keduanya. Mereka sependapat bahawa Kalam Allah tiada huruf, tidak bersuara dan tiada struktur yang sama seperti bahasa manusia kerana haram meyerupakan bahasa Allah dengan bahasa kita.

2)      Kalam Masdari : Iaiatulah taaluq Kalam Allah atau disebut fungsi kalam Allah. Jika tiada fungsi bermakna kalam Allah tiada makna dan tidak bermanfaat. Mustahil bagi Allah berkata-kata benda yang tidak bermanfaat.

3)      Kalam Nafsani : Keadaan bercadang untuk bercakap. Tetapi selalunya belum dizahirkan. Cadangan berkata-kata inilah Taaluq Suluhi Qadim iaitu kemampuan Allah berkata-kata sejak azali walaupun tiada makhluk diciptakan lagi. Allah tidak bersifat spontan untuk bercakap melainkan berkemampuan untuk berkata-kata lebih awal lagi.

4)      Ma Hasala Bil Masdari : Iaitulah hasil daripada fungsi kalam. Fungsi kalam adalah untuk memandu makhluk, memerintah dan mengarahkan mereka, maka disinilah hasilnya adalah bayang-bayang kalam Allah iaitu Al Quran dan kitab-kitab samawi yang lain. Pendengaran Nabi Musa kepada kata-kata Allah juga adalah Ma Hasala Bil Masdari iaitu keberhasilan Musa untuk berkata-kata dengan Allah adalah kerana limpah kurniaan Nya bukanlah menunjukkan Nabi Musa terlali hebat setanding dengan Allah SWT.

 

Kesimpulannya :

Kita memahami bahawa Al Quran bukanlah bahasa Allah yang sebenarnya. Ia hanya dalil dan petunjuk bahawa Allah itu mampu berkata-kata, boleh mengarah, memberi ingat dan panduan kepada manusia menurut bahasa makhluk. Ia umpama bayang-bayang kalam Allah pada zat-Nya yang Maha Agung. Kalam yang sebenar-benarnya Qadim adalah kalam pada Zat-Nya. Tetapi Kitab Al Quran yang ditulis hari ini kita katakan sebagai Qadim juga adalah kerana dikhuatiri manusia mula mengatakan bahawa kata-kata di dalam Al Quran bukan wahyu lagi tetapi adalah bahasa Makhluk. Lantaran itulah kita dilarang mengajar masyarakat awam berkenaan hakikat kalam tanpa keperluan untuk mereka mengetahuinya.  Imam Ahmad mengambil pendekatan bijak dan selamat iaitu terus terang mengatakan bahawa semua daripada kitab samawi adalah bukan Makhluk dan semestinya daripada kata-kata Allah. Jadi jika sudah memahami ilmu ini bolehkah kita mengatakan bahawa Al Quran yang kita baca adalah bahasa Makhluk dan bahasa Allah adalah bahasa Zatnya? Jawapannya adalah kita wajar untuk mendiamkan diri dan hanya mengatakan Al Quran itu Madlul kepada Kalam Allah. Jangan disebut Al Quran itu bahasa makhluk (kecuali dalam keadaan untuk mengajar dan belajar) dan adalah makhluk kerana akan menjerumuskan kita kepada fasiq dan akhirnya kepada kafir. Moga dilindungi.

 

Diharapkan bahan yang saya sediakan ini bermanfaat bagi pembaca sekalian. Untuk jelas kefahaman, sila rujuk Kitab Perisi Bagi sekalian Mukallaf, Faridatul faraid, Aqidatun Najin, Ummul Barahin dan beberapa kitab Aqidah salaf yang lain. Lagi baik kalau berguru. Semoga usaha ini menimbulkan minat semua untuk mempelajari semula senjata umat Islam peninggalan ulama' Khalaf dan Salaf. Ilmu kalam adalah senjata muslimin bukannya ilmu yang menyusahkan jika kita tahu perletakkan tempatnya.

 

Muhammad Nuruddin Bashah

Universiti Malaya

2006

 

 


Posted at 11:59 am by Pendita Bitara
Comments (4)  

Sektor Pekerjaan Dan Ibadah

SEKTOR PEKERJAAN SEBAGAI IBADAH

 

 

1.0 Pendahuluan

 

Manusia dijadikan oleh Allah sebagai agen muslih yang perlu memakmurkan bumi. Kehadiran manusia adalah signifikan dengan keindahan dan sifat pengurusan bumi yang kompleks. Dengan adanya akal dan jasad manusia yang sempurna, maka manusia dipilih oleh Allah sebagai khalifahnya di muka bumi. Kehadiran manusia dimuka bumi bukanlah sebagai hukuman kepada Nabi Adam a.s sepertimana yang selalu difikirkan oleh manusia umumnya.

 

Kehadiran manusia ke bumi adalah taqdiran Allah selepas manusia diberikan pelbagai ciri-ciri kesempurnaan untuk mentadbir bumi. Bekerja adalah salah satu tugasan utama manusia dalam usaha memenuhi keperluan, tempat tinggal, makanan dan pakaian.

Manusia dibekalkan dengan dua sumber utama iaitulah;

  • Sumber manusia iaitu akal, bakat, kecerdikan, panca indera, anggota badan dan jasad manusia yang boleh menyentuh segala yang ada di muka bumi.
  • Sumber yang ada di dalam perut bumi yang sebenarnya diciptakan Allah SWT sesuai untuk diusahakan dengan jasad manusia.

 

Persoalan yang sering timbul adalah, adakah pekerjaan yang dilakukan bersandar dengan nilai ubudiyyah? Adakah pekerjaan dan profesion manusia itu boleh membawa pahala sepertimana ibadah lain umumnya? Hal keterikatan pekerjaan dengan nilai ibadah adalah juga menjadi perbahasan barat melalui bidang keilmuan etika pekerjaan dan nilai moral dalam pekerjaan. Unsur sekularisme barat tidak boleh mengikis nilai naluri kemanusiaan yang sememangnya mementingkan unsur kemanusiaan.

 

Bagi pandangan pengurusan sumber manusia yang agak berbeza dengan pengurusan personalia, bidang pengurusan sumber manusia ini memandang perlunya nilai luaran yang menjadi sumber motivasi kerja kepada manusia. Nilai sekunder bagi manusia yang selalu disebutkan adalah konsep ganjaran, samaada ganjaran material ataupun ganjaran dari segi galakan. Bagi Islam, nilai motivasi sekunder manusia adalah hubungan erat sesama manusia yang meningkatkan motivasi kerja dari segi persaudaraan, kebajikan dan ganjaran kewangan. Manakala sumber tertier adalah galakan pahala daripada Allah SWT sendiri. Hal ini berbeza dengan pandangan barat yang menidakkan hubungan ketuhanan dalam setiap tindakan pekerjaan mereka.

    

 

2.0 Konsep rezeki dan usaha dalam Islam

 

2.1             Definisi

 

Dari segi bahasa, perkataan rezeki berasal daripada bahasa Arab yang membawa 5 maksud

 

a)     Sesuatu yang mendatangkan faedah.

b)     Suatu pemberian yang faedahnya berterusan.

c)     Sebagai hujan.

d)     Sesuatu yang menyenangkan.

e)     Sesuatu yang mendatangkan kebaikan seperti makanan, pakaian dan lain-lain.

 

2.2       Pembahagian Rezeki

 

Rezeki boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian menurut islam seperti berikut:

 

a)     Rezeki yang dikenali dalam bentuk kebendaan. Perkara ini merangkumi segala sesuatu yang dapat dinikmati oleh pancaindera seperti alam jagat raya, hasil kekayaan alam, makanan, tumbuhan , haiwan, harta kekayaan, anak, perhiasan dan lain-lain. Rezeki dalam bentuk kebendaan ini boleh dibahagikan kepada 3 bahagian.

 

a.      Yang halal- segala sesuatu yang dihalalkan oleh Islam sama ada mengusahakannya, mengumpulkannya atau cara membelanjakannya. Rezeki yang halal diusahakan  begitu banyak sekali seperti melalui perniagaan, bercucuk tanam, mengambil upah, makan gaji dan keusahawanan. Dimakan pula dalam kadar sederhana serta dibelanjakan pada jalan Allah seperti mengeluarkan zakat, sedekah dan untuk jalan kebaikan.

 

b.      Yang haram- segala sesuatu yang di larang oleh Allah sama ada cara diusahakan, dikumpulkan, barang yang terlibat dan cara perbelanjaannya. Contohnya, perusahaan arak, berjudi dan dibelanjakan pada jalan maksiat.

 

c.      Syubhah atau segala sesuatu yang tidak jelas kedudukannya dari segi halal dan haramnya menurut syariat islamiah. Contohnya makanan yang dimasak kelihatan halal tetapi tidak dipastikan alat-alat memasak yang digunakan samaada suci atau tidak dari  segi syarak. Hanya orang yang beriman dan bertaqwa sahaja yang dapat menghindarkan diri daripada sesuatu yang syubhah. Bagi orang yang melakukanya dari segi syarak tidak dapat dipastikan. Cuma terpulang kepada Allah SWT untuk menentukannya.

 

b)     Rezeki yang bersifat maknawi atau kerohanian yang dapat dihuraikan lebih lanjut lagi berdasarkan  kepada 3 bahagian berikut:

a.      Segala sesuatu yang berkaitan alam ghaib yang pasti membawa kebahagiaan hidup di akhirat seperti mati syahid, terselamat dari azab neraka, masuk syurga dan sebagainya.

b.      Segala sesuatu yang berpusat di hati yang juga bakal membahagiakan seseorang  di dunia lebih-lebih lagi akhirat seperti iman, taqwa dan amal salih.

c.      Segala sesuatu yang berkaitan tubuh manusia seperti pangkat, kekuasaan, gaji, pengaruh, kecerdasan, kesihatan dan sebagainya.

 

 

2.3    Siapa Pemberi Rezeki

 

Di alam ini, hanya Allah SWT yang merupakan pemberi rezeki yang mutlak tanpa wujud sebarang pensyarikatan dengan sebarang kuasa lain seperti yang dipercayai oleh segolongan manusia, sehingga membawa kepada kewujudan penyembahan kuasa lain selain Allah SWT.

 

" Dan sekali-kali Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah atau beribadat kepada-Ku. Aku tidak sedikitpun menghendaki rezeki daripada mereka dan Aku tidak memerlukan  mereka memberi makan. Sesungguhnya Allah SWT Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan yang kukuh."

 

Ayat di atas begitu jelas menggambarkan tentang hakikat kekuasaan Allah SWT sebagai pencipta alam dan pemberi rezeki kepada makhluk ciptaan-Nya. Terdapat 2 perkara penting yang tersirat dalam ayat di atas.

 

1)     Rezeki dalam sebarang bentuk pun adalah anugerah Allah SWT yang menjadi hak mutlakNya sahaja.

2)     Segala rezeki yang baik atau yang mendatangkan manfaat kepada manusia adalah rezeki untuk manusia dan secara pastinya penganugerahnya adalah Allah SWT.

 

3.0 Pandangan tamadun-tamadun dunia terhadapnpekerjaan dan perusahaan.

3.1    Pandangan Tamadun Greek

 

Tamadun Greek merupakan satu tamadun yang tertua di dunia dan paling besar kesannya kepada tamadun dunia terutama di Eropah hingga hari ini. Tetapi malangnya tamadun itu bukan sahaja tidak meletakkan pekerjaan  pada satu tempat yang sewajarnya. Malah pekerjaan dipandang sebagai sesuatu yang hina.

 

Pekerjaan dipandang hina oleh tamadun Greek kerana pekerjaan banyak mengunakan tenaga jika dibandingkan dengan penggunaan fikiran. Pada pandangan mereka, semangat pekerja akan berkurangan dengan susutnya tubuh seseorang kesan daripada pekerjaan. Pada pandangan mereka juga, rakyat yang baik tidak lahir dari golongan pekerja. Ini digambarkan melalui sifat tuhan mereka yang menguasai golongan pekerja Hepthaitos, mempunyai sifat yang hodoh, bengis, kejam, tempang dan sebagainya. Manakala tuhan-tuhan mereka yang lain digambarkan dengan penuh kehebatan, kecantikan dan kesempurnaan.

 

3.2       Pandangan Yahudi Dan Kristian

 

Kedua-dua agama ini memandang hina pekerja. Pekerjaan dianggap sebagi salah satu pembalasan seksa ke atas keturunan Adam A.S kerana dosa yang dilakukannya iaitu melangar perintah Allah SWT.

 

Kitab Taurat (Old Testament) menjelaskan, maksudnya

 

" Laknat yang menimpa bumi itu adalah disebabkan daripada perbuatanmu, kamu akan hidup susah untuk mendapatkan makanan di permukaan bumi ini sepanjang hidupmu."

 

" Dengan titisan keringat di mukamu, kamu memakan sebuku roti sehinggalah kamu kembali ke pangkuan bumi (mati)."

 

3.3       Pandangan Tamadun Rom

 

Tamadun Rom juga meletakkan kedudukan pekerjaan pada tahap yang amat rendah. Tuhan yang menguasai galian seperti besi, tembaga dan lain-lain iaitu Vulcain juga digambarkan begitu hodoh dalam seni ukir mereka.

 

 

3.4    Pandangan Revolusi Perancis

 

Selepas berlakunya Revolusi Eropah iaitu selepas abad ke -17 ahli-ahli fakir dan pengarang mereka tetap memandang hina kepada seperti yang digambarkan di dalam karya Schiller, Wordas-worth, Dickens, Tolstoy, Ficht, Splinger, Kiergard dan Faulkner. Pekerjaan dianggap unsur yang boleh mengurangkan nilai-nilai kemanusiaan. Ini menyebabkan mereka memandang hina pekerjaan. Sehubungan dengan ini, Audan, seorang pujangga barat telah bermadah

 

" Bahawa kumpulan Barbarian moden tidak lagi ditemui di kalangan penduduk padang pasir yang luas dan tidak lagi akan timbul daripada hutan belantara, tetapi kumpulan ini akan lahir di sekitar industri-industri dan juga syarikat-syarikat."

 

3.5             Pandangan Islam

 

Islam sebagai agama yang merangkumi 3 unsur utama iaitu aqidah, syarak dan akhlak mengatur kehidupan manusia agar mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Pekerjaan adalah  salah satu daripada bidang yang mendapat tempat utama dalam islam yang dianggap sebahagian daripada ibadat di samping pelaksanaan rukun Islam. Lebih lanjut lagi, Islam telah menggubal perundangan yang terperinci dan menyeluruh berkaitan dengan pekerjaan yang dikenali dengan muamalat iaitu membicarakan bidang pertanian, perairan, syarikat, perniagaan, mudbah, kafalah, hiwalah, kontrak dan sebagainya.

 

     Selanjutnya, Islam menetapkan bahwa sebarang usaha untuk mencari rezeki yang halal adalah fardu ain. Ini kerana untuk melaksanakan memerlukan kekuatan rohani dan jasmani. Yang lebih utama adalah kesabaran. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud terjemahannya:

 

" Mencari sesuatu yang halal adalah satu fardu sesudah menunaikan fardu (sebelumnya)."   

 

4.0 Pekerjaan sebagai manifestasi ubudiyyah  kepada Allah.

 

Diantara perkaitan pekerjaan dengan nilai kehambaan kita kepada tuhan adalah:

 

4.1     Ada di antara fuqaha' Islam yang berpendapaat bahawa perusahaan itu memberikan kepada para pengusaha keuntungan yang paling baik berdasarkan sabda Nabi SAW:

 

" Tidak ada makanan yang lebih baik bagi seseorang itu memakainya kecuali yang diusahakan oleh tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud A.S.W adalah memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri."

 

4.2     Sesungguhnya sikap cintakan pekerjaan telah berakar umbi di kalangan kaum muslimin, dengan itu kita dapati ada sebahagian ahli fikir yang memilih pekerjaan tangan bagi mendapatkan keperluan untuk keperluan orang bawah tanggungan mereka. Mereka tidak pernah merasakan terhina dengan keadaan ini.

 

          Ahmad bin Hanbal, seorang imam besar kaum muslimin, telah mengambil upah sebagai pembawa barang di jalan-jalan ketika ia keputusan perbelanjaannya dan tidak ada jalan lain lagi selain daripada mengambil upah begini.

 

4.3      Melakukan pekerjaan dengan niat mendapat rezeki adalah fardu ain ke atas setiap muslim. Kerana menunaikan amalan-amalan fardu ain amat mengkehendaki kekuatan jiwa dan badan. Kekuatan ini tidak akan wujud kecuali melalui makanan dan nafkah. " Sesuatu yang boleh menjayakan amalan-amalan fardu adalah menjadi fardu bagi mendapatkannya."

 

4.4      Seseorang pekerja selalu mendapat pertimbangan khusus dari agama Islam:

 

Sebagai contohnya: pembayaran jizyah diringankan ke atasnya. Seorang tukang jahit, tukang celup pakaian, tukang kasut dan tukang tampung pakaian, kadar pembayaran jizyah mereka lebih rendah daripada pembayaran golongan yang senang seperti penukar wang, penjual kain (jenis kapas), penjual minyak wangi, peniaga dan doktor.

 

Alat-alat kegunaan golongan buruh professional seperti buku-buku ilmiah tidak dikenakan zakat.

 

          Membantu seorang tukang dan seorang yang tidak cekap dalam usahanya-dari sudut keutamaannya diletakkan  ke dalam kategori amalan jihad ke jalan Allah dan amalan pembebasan hamba abdi.

 

 

4.5      Masyarakat buruh Islam diwajibkan melalui arahan fiqah agar bersikap lembut dan saling menyayangi antara sesama anggota masyarakat. Di antara contohnya dalam hukum fikah: adalah lebih afdal bagi seorang pekerja (buruh) membayar zakat hartanya, zakat fitrahnya dan juga nazarnya kepada golongan sekerjanya sebelum dibayarkannya kepada kaum keluarga kerabatnya dan jirannya, tetapi sebelum dibayarkanya kepada penduduk kampungnya atau kotanya."

 

4.6       Islam sering memberikan penghormatan yang tinggi kepada tiap-tiap kerja yang diakui sah (masyru'ah).

 

Di dalam beberapa buah hadis terdapat peristiwa-peristiwa yang menunjukkan sikap ini:

 

·         Para khadam telah pergi menemui Rasulullah agar Rasulullah menolong mereka membeli barang-barang yang dikehendaki oleh mereka di pasar. Lalu Rasulullah pergi bersama-sama mereka untuk memenuhi permintaan mereka.

·         Rasulullah telah berbual dengan  seorang pekerja dan Rasulullah mengalakkannya agar meminati kerjanya.

 

4.7    Islam tidak menyetujui sebarang pekerjaan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan akhlak (moral).

 

Kata-kata fuqaha':

 

" Dalam mencari rezeki hendaklah melalui saluran yang sah ( mesyru') sahaja."

 

  1. Sekiranya ada saluran yang baik ( halal) maka gunakan saluran itu.
  2. Sekiranya tidak ada saluran yang baik (halal) yang ada hanyalah saluran yang haram semata-mata, maka jauhilah.
  3. Demikian juga sekiranya saluran itu diragui, tetapi hukum haram lebih mengatasi.
  4. Dalam keadaan dimana hukum halal lebih mengatasi  atau kedua-dua hukum itu sama, maka hendaklah diperhatikan:
    1. Sekiranya ia boleh mendapatkan rezekinya melalui saluran lain yang halal, maka tinggalkan saluran itu (yang meragukan itu) kerana sesiapa yang berligar di sekitar api yang panas maka ditakuti ia akan terjatuh ke dalamnya.
    2.  Sekiranya ia tidak mempunyai pilihan yang lain maka ambillah dari saluran itu sekadar yang diperlukan sahaja.
    3. Sekiranya dia berupaya mendapatkannya melalui saluran yang halal tetapi terpaksa menghadapi kesulitan dan memakan waktu, maka seorang pekerja biasa hendaklah memilih saluran sulit itu kerana menempuh kesulitan untuk mendapatkan sesuatu yang halal adalah satu ibadah.

 

4.8     Tuan punya pekerjaan ( pemodal) adalah diwajibkan oleh Sunnah Rasulullah SAW mengambilkira khidmat saudara-saudaranya: ia dituntut memberikan makanan kepada mereka dari apa yang dimakannya dan memberikan pakaian kepada mereka dari jenis yang dipakainya dan jangan menyuruh mereka melakukan pekerjaan di luar kesanggupan mereka. Sekiranya  ia menyuruh mereka menjalankan sesuatu pekerjaan maka dia dikehendaki membantu mereka (mafhum dari hadis Nabi)

 

5.0 Penutup.

 

Pekerjaan adalah suatu yang terhasil daripada kehendak naluri kemanusiaan sepanjang perjalanan hidup seseorang insan. Pemikiran yang tercemar telah menghasilkan ramai individu yang bertuhankan kerjaya sehingga berlakunya penindasan dan kezaliman kepada manusia lain. Islam adalah satu-satunya agama yang menjelaskan hal ini secara reality dan ada justifikasi yang amat jelas dan terarah iaitu perhambaan kepada tuhan pencipta alam ini.       

Muhammad Nuruddin Bashah

PKNS Kuala Lumpur

2006

 

<P class=Ms

Posted at 03:58 am by Pendita Bitara
Comment (1)  

Wednesday, September 06, 2006
Bab Haji (6)

Alih Tulisan Kitab Kifayatul Muhtadiy Pada Menerangkan Sulamul Mubtadiy

Sheikh Muhammad Noor Bin Muhammad Bin Ismail Al Fatani, waris  Al A'lamah Sheikh Daud Al Fatani

KITAB NISKUN (kitab tentang Haji) (Bahagian 6)

Dan Wajib yang keenamnya Tawaf Wida' jika adalah tawaf wida' itu daripada wajib jika dibuatkan dia mengiringi haji seperti ia tawaf pada malam ke-14 bulan Zulhijjah dan jika tiada mengiringi haji maka wajib asing (mustaqitd) sendirinya1. Maka wajibnya itu atas orang yang bukannya haid atau nifas. Adapun keduanya (haid atau nifas) tiada wajib atasnya  tawaf wida' . Maka inilah segala wajib haji  maka manakala ditinggalkannya satu daripadanya wajib jabarkan dia (bayar/lengkapkan) dengan Dam bersalahan pada rukunnya2 yang tersebut dahulu itu kerana manakala tiada mendatangkan dia tiada sah hajinya, maka tiada boleh dijabarkan dia dengan Dam dan lainnya. Dan wajib tawaf wida'3 itu bagi orang yang hendak kembali kepada tempat kediamannya samaada dekat  kurang daripada 2 marhalah atau jauh sekadar musafah al-Qasri 4 atau orang yang hendak keluar pada musafah al-Qasri 2 marhalah atau lebih samaada tempat yang ia hendak keluar kepadanya itu tempat kediamannya atau tiada. Maka pada sekalian yang tersebut itu wajib ia tawaf wida' dan jika ia keluar daripada Mekah dengan tiada wida' nescaya wajib atasnya Dam satu kambing dan kemudian daripada tawaf wida' wajib ia musafir mengiringi tawaf itu dengan bersegera (terus keluar Mekah). Maka jika taakhir kan (melewatkan) musafir itu kemudian daripada tawaf kadar masa yang luas (seperti ditambahkan) padanya sembahyang 2 rakaat 5, batal tawaf wida'nya melainkan jika taakhir kerana meminta doa kemudian daripada  2 rakaat tawaf itu dan minum air zamzam dan pada multazim, atau taakhir kerana pekerjaan safarnya seperti membeli bekal dan mengikat kenderaan maka tiada batal dan jika panjang taakhirnya sekalipun. Dan adapun haiat iaitu sunat haji amat banyak setengahnya didahulukan ihram dengan haji atau umrah jika datang kepada Mekah pada bulan haji maka dinamakan ihram itu Ifrad yang afdhalnya, jika ia Ihram dengan umrah pada tahun itu dan tiada atasnya dam dan jika ihram ia dengan umrah pada bulan haji tamattu' namanya iaitu ya'ni wajah orang yang mendatangkan haji itu 3 wajah yang pertama dinamakan Ifrad iaitu yang tersebut dahulu, keduanya tamattu' iaitu dikerjakan umrah pada bulan haji kemudiannya ia haji pada tahun itu yang hampir dengan Mekah sekiranya tiada sampai 2 marhalah tempat duduknya dan wajib dam atasnya dengan syaratnya yang empat, pertamanya tiada ia daripada ahli Mekah atau tempatnya tiada sampai 2 marhalah daripada Mekah, Keduanya ia ihram dengan umrah pada waktu haji, ketiganya tiada ia kembali kepada ihram haji kepada miqatnya, keempatnya ia haji pada tahun itu dan waktu, wajib Dam atasnya  ketika ia ihram dengan haji dan waktu harus disembelihkan Dam itu kemudian daripada selesai daripada segala amalan umrahnya dan dahulu daripada ihram dengan haji dan yang afdhalnya disembelihkan pada hari nahar dan jika lemah ia daripada mengeluarkan dam pada tanah haram, puasa (berpuasa jika tak mampu Dam) ia ganti daripada menyembelih dahulu daripada hari nahar, 3 hari dan sunat didahulukan daripada hari Arafah kerana sunat bagi orang yang haji tiada puasa ia pada hari itu dan tiada harus baginya puasa pada hari nahar atau pada segala hari tasyriq dan tiada harus di dahulukan daripada ihram dengan haji dan puasa 7 hari pada negerinya maka jika ia mastautin di Mekah harus baginya dipuasakan di Mekah, maka apabila luput puasa 3 hari pada haji lazim atasnya bahawa ia ceraikan antaranya dan antara 7 hari itu dengan kadar 4 hari. Dan wajah yang ketiganya daripada mendatangkan haji itu Qiran namanya iaitu ia ihram dengan haji dan umrah sekali pada beberapa bulan bagi haji maka memadailah bagi keduanya dengan satu tawaf dan satu sai' dan segala bercukur kerana masuk amalan umrah pada amalan haji seperti niatnya (nawaitu Al Hajju wal Umratu Wa ihramtu Bihima Allah Taala) "Sahaja Aku Berhaji dan Berumrah dan aku berihram keduanya kerana Allah Taala", ini pula wajib Damnya atas maqrun (yang menghubung/ perbuatan menhimpunkan haji dan umrah jadi satu adalah perbuatan maqrun)) itu jika yang bukan ia orang hadir haram Mekah dan tiada kembali ia ke Miqatnya dahulu daripada wuquf di Arafah. Adapun jika daripada ahli Mekah dan kembalinya ia ke Miqatnya tiadalah wajib atasnya dam.

 

Nota kaki :

 

1)       Jika kita wida' malam ke-14 berasingan bukan lagi jadi tawaf wajib bagi Haji, tetapi wajib mustaqitd iaitu perkara wajib yang berasingan dengan haji tadi.

2)       Jika tinggalkan rukun haji tak boleh dibayar dengan dam, sebaliknya diulang haji pada tahun berikutnya.

3)       A pabila tawaf wida' dilakukan seseorang tidak boleh tinggal di Mekah selepas itu tanpa keperluan mendesak atau keperluan permusafiran seperti dia menziarahi orang sakit atau membeli belah maka wajib diulangi tawaf tadi.

4)       Maksudnya tempat yang ghalibnya orang menqasarkan solat (2 marhalah). Bagi perempuan yang haid perlu terus pulang ke rumahnya tanpa perlu tawaf wida'. Tetapi jika ia suci sebelum sampai ke tempat ghalib qasar (musafah al Qasri) maka perlu kembali ke Mekah dan tawaf wida' semula.

5)       Selalunya selepas tawaf wida' kita disunatkan buat solat sunat tawaf, berdoa, minum air zamzam. Tetapi jika sengaja tambah sembahyang 2 rakaat tanpa sebab maka batal tawaf tadi. Perlu ulang dan bersegera keluar dari Mekah.

6)       Haji Ifrad : mengerjakan haji dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan umrah.

7)       Haji Tamattu' : mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan haji pada tahun yang sama. di mana ketika berniat ihram Haji jemaah Haji berniat secara "Haji Tamattu'". Setelah itu dia berniat dan berihram untuk mengerjakan Umrah secara berasingan seperti yang dijelaskan sebagaimana berikut. Dia hendaklah menyebut:
Yang bermaksud: (Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Umrah kerana ingin mengerjakan Haji Tamattu'), wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Umrah, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Umrah daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Serta bertalbiah. Ketika sampai di Mekah al-Mukarramah jemaah Haji pergi ke Baitullah al-Haram lalu mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kemudian bertahallul dari Ihram dengan bercukur atau bergunting. Jemaah Haji terus berada dalam keadaan Tahallul sehinggalah sampai pada hari Tarwiah iaitu pada 8 Zulhijah di mana jemaah Haji akan berniat Ihram Haji dari tempat dia turun sambil berkata:

"Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Haji, wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Haji, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Haji daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah aku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Wahai Tuhanku! Diharamkan bagiMu rambutku dan diriku, jasadku dan semua anggotaku, daripada wangi-wangian dan perempuan serta dari semua perkara yang Engkau haramkan terhadap orang yang berihram, aku mengharapkan pertolonganMu, wahai Tuhan sekelian alam."

Seterusnya dia mengerjakan Haji sebagaimana jemaah Haji yang mengerjakan Haji Ifrad, cuma dia perlu membayar Dam kerana menikmati kemudahan semasa mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan."
Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Orang yang telah mengerjakan Tawaf Umrah ketika mengerjakan Haji Tamattu' tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Qudum bagi Haji malah selepas Tahallul yang pertama dia hendaklah melakukan Tawaf Ifadhah dan bersaie di antara Safa dan Marwah bagi ibadat Haji mengikut pendapat jumhur ulama. Walau bagaimanapun bagi Mazhab Hanafi, bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Tamattu' yang tidak membawa (mendapatkan) binatang ternakan, tetapi jika telah membawa (mendapatkan) binatang tersebut, maka hukumnya sama seperti hukum Haji Qiran.

8)       Haji Qiran : berniat haji dan umrah dalam satu amalan samada niat haji atau umrah sahaja dalam satu amalan haji, tetapi yang paling penting sebelum tawaf wajib niat tawaf haji (jika berniat umrah dalam haji Qiran ini sebab boleh pilih untuk berniat umrah sahaja atau haji sahaja). Jemaah Haji berniat Haji dan Umrah dengan satu niat dari miqat yang ditetapkan dengan berkata: Yang bermaksud: "Aku telah memenuhi seruanMu untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah."

\Apabila jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran memasuki Kota Mekah, dia melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan secara berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama kemudian diteruskan dengan bersaie di antara Safa dan Marwah seterusnya disyarakkan di sisi Hanafi agar jemaah Haji melakukan pekerjaan-pekerjaan Haji sebagaimana Haji Ifrad manakala di sisi jumhur memadai bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran melakukan satu Tawaf (tujuh pusingan) dan satu Saie (tujuh pusingan) sahaja kerana Tawaf dan Saie Umrah yang dilakukan itu juga dikira sebagai Tawaf dan Saie Haji sehinggalah dia bertahallul dari Umrah dan Haji secara serentak.

 

 

Nota tambahan:

 

a)       Karana itu banyak diantara jamaah haji yang memilih tamattu`, sebab dengan bertamattu` seseorang boleh bebas dari larangan-larangan dalam ihram. Tamattu` sendiri maknanya adalah bersenang-senang. Sebab setibanya kita di tanah suci dalam kondisi sedang memakai pakaian ihram, kita boleh terus kembali memakai pakaian biasa lagi. Tentu setelah sebelumnya tawaf, sa`i dan bercukur / bertahallul. Lalu kita tinggal di Mekkah dengan bebas tanpa takut larangan ini dan itu hingga menjelang hari arafah tanggal 9 Zulhijjah. Tapi akibatnyanya adalah harus membayar seekor kambing sebagai dam.

 

b)       Mana Yang Lebih Utama: Para ulama berbeza pendapat tentang manakah yang paling utama untuk dipilih. Meski pun dahulu Rasulullah SAW melakukan haji qiran karana beliau menyembelih kambing. Ini menurut tarjih para ulama di tengah khilaf para ulama tentang haji apakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

·          Al-Hanafiyah

Mereka mengatakan bahawa haji qiran lebih utama dari haji tamattu`

·          Al-Malikiyah

Mereka mengatakan bahawa haji ifrad lebih utama dari haji tamattu` dan haji qiran.

·          Al-Syafi`iyah

Mereka mengatakan bahawa haji ifrad dan tamattu` lebih utama dari haji qiran.

·          Al-Hanabilah

Mereka mengatakan bahwa haji tamattu` lebih utama dari haji qiran dan ifrad.

c) kalau tidak mampu membayar dam, maka diwajibkan puasa tiga hari selama musim haji itu dan 7 hari sepulangnya dari haji.  Bagi Mazhab Syafie haji Qiran dan tamattu' wajib Dam.

 

Disediakan oleh : Muhammad Nuruddin Bashah 

nota : Adalah lebih baik pembaca memiliki kitab ini (sekitar RM 16) dan cuba berguru atau membaca dahulu bab haji ini menggunakan alih tulisan rumi yang saya sediakan. Moga usaha ini menimbulkan minat kita memahami ilmu Islam serta memertabatkan kembali tradisi pengajian kitab tradisional.

 

 


Posted at 01:05 pm by Pendita Bitara
Comment (1)  

Tuesday, August 29, 2006
Erti merdeka dalam erti minda yang realiti

Erti merdeka dalam erti minda yang realiti dan hidup.

 

Pada 18-22 Ogos yang lalu, Universiti Malaya sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Debat Kemerdekaan Ala Parlimen Antara Universiti-universiti Malaysia. Berteraskan aspirasi kemerdekaan, patriotisme dan cintakan kekitaan serantau, cuba digambarkan dalam citra pertandingan ini. Saya tidak mengikuti pertandingan ini disebabkan kekangan masa kuliah walaupun amat berminat untuk mengikuti perjalanan hujah dan idea daripada pendebat-pendebat tersohor berkenaan. Namun saya sekali lagi dapat mengambarkan keadaan pertandingan dan 'hasil' daripada pertandingan sedemikian. Walau bagaimanapun, semangat cintakan tanahair dan kedaulatan negara yang ditunjukkan oleh penganjur majlis berkenaan adalah suatu sikap yang mulia serta berteraskan keimanan kepada agama sendiri bagi kaum muslim.

 

Merdeka adalah suatu yang lahir dari naluri dan bukannya ideologi tertentu.

            Merdeka atau istilah istiqlal dan hurriyyah, tidak dimaktubkan di dalam Al-Quran. Namun begitu, Islam adalah suatu agama yang membawa ciri kemerdekaan yang sejati bermula daripada sikap perhambaan kepada makhluk (sesama manusia) dialihkan kepada suatu perhambaan yang murni iaitu kepada Sang Pencipta alam yang sejelasnya layak dan tidak sama cirinya berbanding kita. Islam memerlukan tanah, manusia yang berakal dan kebebasan melaksanakan semua peraturan hidup untuk diletakkan syariatnya. Tanpa ketiga elemen ini, maka tiada justifikasi syariat (peraturan) Islam diturunkan.

 

            Kali ini saya cuba mengaitkan isu merdeka yang sebenarnya, serta perkaitannya dengan aktiviti debat dan perbahasan sama ada yang dijelmakan dalam bentuk pertandingan atau dalam bentuk tidak formal.

 

Debat yang malar, pesimis dan murung.

            Mengapa saya tidak memandang aktiviti pertandingan debat kini sebagai suatu medan penjanaan minda dan idea? Dan  sebenarnya jauh daripada merealisasikan erti kemerdekaan berhujah dan berwacana. Pengartikulasian fakta, idea dan ekspresi hujah yang diformalkan sebenarnya adalah suatu bentuk penjajahan idea dan sebagai contoh dalam majlis-majlis debat yang dipertandingkan. Mengapapakah saya berhujah begini? Kerana kesimpulan isi kandungan debat, perjalanan hujah, bentuk argumen dan konotasi bagi setiap diksi-diksi hujah sebenarnya telah diselaraskan, dipadukan agar tidak menghasilkan idea bebas. Apakah kepentingan idea bebas? Adakah sama dengan fahaman muktazilah (golongan mengutamakan akal daripada normatif Islam), atau ianya juga suatu penghasilan hujah samar (ambiguous) yang langsung tidak realiti? Pada saya tidak perlu takut pada hujah bebas. Tidak perlu mengawal minda manusia secara jitu yang melulu. Dampak kemandulan hujah sebenarnya menggambarkan situasi kegeringan pacuan kepimpinan negara pada masa yang akan datang. Inilah realiti yang akan kita hadapi jika budaya pengawalan begini diteruskan.

 

            Saya memandang begini kerana melihat bagaimana sesuatu majlis debat mengutarakan tajuk debat mereka. Tajuk yang digunakan kelihatannya ada pro dan kontra. Seolah-olah ada dielektik dan ada percabaran hujah di situ. Ironinya jika dilihat mendalam, pro dan kontra tersebut masih berpijak pada landasan hujah yang sama serta tidak menghasilan apa yang diertikan sebagai idea baru yang mencabar. Mencabar sistem kemanusiaan yang sedia ada, mencabar politik, menacabar status quo minda masyarakat jika dipaparkan. Jelasnya si pembangkang dalam sesuatu debat tidak bersungguh mempertahankan hujahnya demi membawa kepada suatu dimensi pemikiran baru sebaliknya menyajikan hujah konkrit untuk kemenangan. Menang dan akhirnya landasan lama akan masih dipertahankan dan inilah erti kemerdekaan yang akan diulang siarkan saban tahun. Bergelutlah si pendebat menghafal hujah, mempelajari ilmu psikologi untuk menerjah hujah lawan dan bukannya bersedia dengan hujah yang diluar skop landasan quo masyarakat jauh lagi berhasrat untuk mengisi kelompangan dimensi pemikiran yang sedia ada. Pada saya majlis debat rasmi sebegini hanya tempat melatih untuk melancarkan lidah, berlatih agar tidak gugup serta tidak mudah dimainkan emosi lawan serta lebih sesuai untuk dikatakan bahawa pertandingan sebegini adalah tempat untuk menghasilkan golongan petah.

 

Berdebat secara 'merdeka' atau berdebat tajuk merdeka?

            Merdeka bukan sekadar diperdebatkan tajuk apa itu merdeka. Siapakah yang patut dinobatkan sebagai tokoh merdeka, apakah sumbangan etnik dalam sesebuah negara untuk merdeka, bukan sekadar itu. Sebenarnya jika tajuknya mudah seumpanya 'Sistem pendidikan perlukan elemen moral dalam setiap subjek atau perlunya subjek pendidikan moral ditumpukan' juga adalah tajuk yang melibatkan elemen kemerdekaan, jika ativiti bahasnya merdeka. Jika pendebatnya tidak dibenarkan menghafal hujah, jika dibenarkan mereka mengartikulasikan sikap realiti mereka dan bukan berolok-olok di depan hadirin. Inilah sebenarnya dialog atau debat sempena kemerdekaan.

 

            Melayu rata-ratanya kelihatan samseng dan gagah. Pantang dicabar maruah terus menghulurkan tangan untuk bergelut. Hakikatnya mereka takut untuk berada di situasi semacam Lubnan dan Palestin sekarang ini. Hakikatnya mereka akan beralah jika sesuatu perkara melibatkan keharmonian kaum diperulaskan. Mereka trauma dengan 13 Mei. Sebenarnya  kini bukan lagi budaya melayu sebegini, tetapi juga telah menjadi buadaya masyarakat Malaysia. Mereka gentar apabila suatu isu diperkatakan boleh mencabar keselamatan dan keharmonian, walaupun sebenarnya tidak.

 

Aktiviti menghasilkan idea bercanggah digelar sebagai penderhaka….

            Kita kini melihat budaya kebebasan berwacana mulai pudar baik dalam institusi kerajaan, parti politik (tidak kira pembangkang atau pro kerajaan), persatuan mahasiswa serta mana-mana organisasi swasta sekalipun. Kerana apakah hal ini berlaku? Semuanya kerana inginkan idea 'ketua' dan pemimpjn dipatuhi untuk melancarkan agenda, misi, 'manhaj' atau sistem yang diperjuangkan. Kesemuanya kerana takutkan minda yang mencabar akan mencabar idea sang ketua yang inginkan kekebalan dirinya terjamin. Selalunya ia berlaku jika si pemimpin organisasi itu dangkal mindanya, sempit visinya serta kekurangan info semasa. Ia memerlukan suatu protektif yang ampuh dan solusinya adalah dengan  menutup mulut orang bawahan.

 

Idea bebas, idea menggugat, idea mencabar dan bukannya idea kiri yang berlainan.

            Idea bebas dan berminda mencabar ini saya cuba kaitkan dengan suatu dikotomi yang semua arif iaitu haluan kiri. Kelihatan momokan semulajadi adalah haluan kiri merupakan si pemberontak yang gilakan kuasa, ingin popular dan ingin hak peribadinya diutamakan? Pada saya, dalam pengkajian sebegitu banyak pemikiran haluan kiri, baik politik, aliran pemikir Islam serta mengikuti sosio budaya yang berlaku sekeliling, kita melihat sebenarnya si pemikir kiri juga merupakan salah seorang yang cintakan organisasinya, cintakan negaranya, cintakan bangsanya dan agamanya. Tetapi minda cetek (saya tidak letakkan pada pengikut aliran kanan kerana minda cetek tidak mengenal kiri atau kanan) selalunya takut untuk dicabar, maka melebelkan mana-mana kelompok atau manusia yang mempunyai idea yang kritis, agak lari dari idea asal sebagai suatu argumen pemberontak, penderhaka organisasi dan sebagainya tanpa menilai secara terperinci  cara seseorang itu berhujah, mengapa dan apa yang dia perkatakan secara mendalam. Maka perlulah kita menilai kesemua ini secara terbuka kerana fenomena ini berlaku tanpa megira aliran pemikiran, tanpa mengira apa jenis organisasi sekalipun.

 

Minda kiri bukannya kiri sebaliknya sebagai idea penyelaras

            Sebenarnya minda mencabar ini adalah suatu idea yang bersifat alternatif, 'check and balance' serta bersifat renovasi dan nafas baru dalam setiap idea yang lama. Ia juga suatu iondikator baru yang mungkin mengalihkan pandangan pada suatu sudut yang baru. Ianya juga berperanan sebagai peringatan bagi si pembawa dasar agar merenung semula ke belakang, menoleh dirinya, menoleh melihat kembali langkahnya agar lebih berhati-hati. Jelasnya jarang berlaku adanya aliran pemikiran kiri yang ingin menghancurkan organisasinya sendiri. Idea yang kelihatan bercanggah dalam kerajaan, dalam sesebuah gerakan masyarakat, gerakan mahasiswa dan sebagainya  bukan bermakna akan mengubah 100 peratus idea asal. Pengubahan idea asal mungkin perlu berlaku jika idea asal terlalu rosak dan tidak relevan. Pada saya idea lama akan terus berjalan cumanya lebih gagah dan bermakna dengan adanya pemvariasian. Tetapi kenapa direncatkan minda manusia dengan dilarang memperbahas dasar sesuatu organisasi, sesuatu comitee, serta sesuatu badan yang tertentu? Mengapa takutkan cabaran? Istilah yang selalu dijaja oleh gerakan Islam pula sebagai iatilah 'ketiadaan wehdatul fikri'. Istilah bagi si penguasa negara adalah sebagai pengelakkan terjadinya ketidak seimbangan sistem negara. Kesemua hujah ini disimplistikkan sehingga akhirnya semua manusia akur dan menurut tanpa membawa idea baru yang membina. Tidak langsung merdeka. Saya suka menjelaskan tanda seseorang beridea mencabar ini sebenarnya adalah golongan yang cintakan organisasi tetapi melihat pandangan pada sudut-sudut tertentu yang berlainan. Mereka walaupun berfikiran agak lain sebenarnya masih akur dengan kehendak majoriti.

 

 Berlainan berfikir bukan penghancur kesepaduan sebaliknya merancakkan lagi.

            Saya tidak nafikan kepentingan kesepaduan pemikiran dalam segala tindakan (kesatuan amal). Saya tidak nafikan perlunya pelaksanaan yang komprehensif dan bersepadu untuk merancakkan kerja. Tetapi adakah berlainan pemikiran dan berlainan pendapat itu mengurangkan kesepaduan kerja? Bagi saya bagi parti politik, jika idea itu jelas menyelarnya barulah boleh disingkirkan, bagi gerakan Islam pula jika jelas bercanggah dengan Al Quran dan Al Sunnah serta merosakkan maslahah (kebaikan) yang besar barulah disingkirkan atau diketepikan, bagi gerakan mahasiswa pula jika idea baru itu menghasilkan suatu kelompok yang pesimis dengan tindakan sejagat atau membantutkan pergerakan yang baik, barulah diistilahkan sebagai perosak atau penderhaka. Janganlah mudah melebel orang hanya kerana kedangkalan hujah kita dan akibat krisis inferiority compelex yang menular dalam sebilangan besar pemimpin organisasi hari ini. Bukan semua yang dibawah itu bodoh dan bukan semua yang berada di atas itu bijak pandai belaka. Semuanya tiada yang lebih dan kurang. Kesemuanya perlukan timbal balik yang positif.

 

            Hari ini juga kita sendiri boleh melihat seminar dan majlis wacana /diskusi/forum tidak lagi mengutarakan tajuk-tajuk yang bersifat semasa, ranting atau yang tidak terlalu umum. Kelihatan hari ini tajuk-tajuk seminar lebih daripada membaca semula buku-buku pengantar bagi tajuk berkenaan dan bukan suatu tajuk yang mendasar dan mendalam sehingga menghasilkan resolusi yang menggugat dan boleh diambil iktibar. Wacana juga selalunya pula dibuat di tempat yang elit, beryuran mahal, eksklusif dan diformalkan sehingga menyukarkan mahasiswa kelas bahawan untuk hadir serta jauh dari realiti masyarakat awam terbanyak.

 

            Saya sengaja membawa perbahasan tajuk ini dan rasanya ianya berlainan dengan tajuk konvensional sempena merdeka yang saban tahun kita santapi. Debat ala parlimen yang tidak langsung mencerminkan budaya parlimen Malaysia (yang sebenarnya mengutamakan agenda parti lebih daripada agenda rakyat) juga sebenarnya suatu yang sinis untuk kita fikir bersama. Mengapakah kita takutkan realiti? Berdebat dengan mengenepikan realiti, berhujah dengan fakta-fakta yang dikawal dan disediakan, berfikir dalam orbit yag dipaksa-paksa serta berwacana dalam tajuk yang terlalu ideal dan jauh untuk dilaksanakan. Hanya ditongsampahkan sahaja apabila majlis pertandingan tamat. Di sebabkan saya seorang muslim, walaupun saya menggesa kebebasan berfikir dan penghasilan idea yang mencabar, saya tetap menggesa agar pemikiran itu terbatas bagi lingkup normatif Al Quran dan Hadis Muhammad. Bagi kaum lain, berhujahlah atas nama kebenaran dan keadilan yang sebenar dan bukan adil dalam erti sama rata dan hak yang sebenarnya bukan suatu keadilan tetapi juga suatu kezaliman. Saya sayangkan Malaysia, sayangkan bangsa saya dan agama saya. Minda saya begini.

 

Muhammad Nuruddin Bashah

Universiti malaya

11.13 malam

28 Ogos 2006

 

           


Posted at 07:54 pm by Pendita Bitara
Komen membina  

Next Page


Pendita Bitara

Kebangkitan Ummah bermula daripada kebangkitan minda dan paradigma.....
bukan suatu evolusi yang pasif...

PERJUANGAN BAHASA MELAYU


Bahasa Melayu bukan diperjuang secara ketaksuban etnik dan ras. Bukan bernada chauvinis yang sempit apatah lagi ingin menguja Bahasa ini sebagai adi bahasa yang menggugat bahasa lain. Bahasa ini adalah payung bagi keharmonian, interaksi dan bahasa ilmu bagi sebuah Negara bangsa bernama Malaysia. Dasar ini akan menjadikan perjuangan bahasa melayu diupayakan, sekata dan harmonis sekaligus mengekalkan bahasa peribumi dan kaum lain sebagai hak kekal bagi setiap kaum. Perjuangan bahasa dan sosiolingusitik adalah luas. Perjuangan bahasa bukan sekadar menolak PPSMI…ini kerja berat bagi yang mengaku warga Malaysia. Ini nada juang bagi memartabat eka bahasa kita.
(Pendita Bitara)




RENCAH HIDUP

Teks (penulisan) adalah wahana bagi masyarakat belajar.
Yang mana dari sini pengtahuan berganjak terus-menerus menuju kematangan.
Tanpa teks, peristiwa dan pengalaman akan ‘menguap’ ditelan waktu, untuk kemudian kita akan bertengkar tentang kebenaran peristiwa itu pada hari kemudian.
Tanpa teks kita tidak mampu memetik kearifan hidup.
Tanpa teks apakah yang dapat kita wariskan kepada anak cucu?”
( Shaharom TM Sulaiman dalam Buku Kekasih)

Bahasa adalah citra atma sesuatu bangsa, Bahasa adalah perlambangan nurani

A. Samad Said (sasterawan Negara)


Kerajaan melanggar Akta Bahasa pada 2003 (PPSMI), kerajaan melanggar Akta Bahasa pada 2009 dan akan terus melanggar sehingga 2017


.:Blog-Blog saya yang lain:.



PENTAS KAJI BUKU


LANDSKAP SIASAH

SKUAD PENYELAMAT AQIDAH (SPAQ)

JAISYU MUHAMMAD



.:Link Info:.:.


Harakah

Utusan

Berita Harian

Harian Metro

Buletin

Malaysiakini

Marhaen

.:Sederap Senada Sekata:.



saifulislam

Abdul Hadi Bin Alias (UTP)

Lirik Nasyid (Sahabatku Amni)

Puisi Nurani

Lindungan Bulan

Along Effendi

Diskusi Hati : Mujahidah Kustem (Sahabatku Amni)

Mujahidah UIA

Diari Mujahid

UBU

Fathi Reformist

Akmal Labu (Pendakwah Kontemporari)

.:NGO n Islamic Movement:.



PAS

Ikhwanul Muslimin


KEADILAN

JIM

KERSANI training

Terengganukini


Persatuan Ulama'


PAKSI

.:Jaringan Ilmiah:.



Bahan Tarbiah

Biografi Ulama' dan Tabiin

Komik dakwah

Sirah nabi berserta nota dan peta-peta

Ini Sejarah Kita ( Sejarah Khilafah Islam)

Download Kuliah Aqidah (Tuan Guru Abdul Hadi)

Rujukan Fiqh dan Syariah

Berita Umat Islam Antarabangsa (Islam NEWS Room)

nak MP3 Nasyid? Mai tekan sini....

Mari Kenal Ulama'

Mari Belajar Menulis Artikel dan Buku

Ummah Muslimin

MyKULIAH(MP3)

Rujukan Al Quran

Rujukan Hadis-hadis

Fatwa Al-Qaradhawi

Cintailah buku dan Bahasa kita

Marilah baca buku Terkini !! Update your mind..

.:Gegar Kampus:.



PMIUM bersamamu...


ISIUKM

PMIUTM Gegar Selatan

PKPIM

Ikatan Persaudaraan Jepun


Kepada Pengunjung yang ingin meneliti artikel-artikel yang lepas, sila cari melalui Kalender. Artikel mula dimasukkan pada 21 April 2006. Moga bermanfaat kepada kalian

.:Counter:.



online
hits since 21 April 2006







|+| TAJUK UTAMA |+|


1) Keutamaan Agen Muslih dalam Era Islam Kini Dalam Menempuh Aspek Khilafiyyah
2) Ancaman Islam LIberal....Sejarah Kembali Berulang
3) Falsafah Jundiyyah
4) Kelayuan Keintelektualan Dalam Gerakan Mahasiswa Islam
5) Asal Kekuatan Ummah Bermula Daripada Membaca...Suatu Saranan
6) Asal Rentak Politik Cina di Tanah Melayu
7) Mana Lagi Dhalalah??
8) Mahasiswa Perlukan Perenungan Sejenak
9) Analisa Mahasiswa Pasca 1998
10) Kronologi Gerakan Mahasiswa
11) Siapakah Sheikh Muhammad Arsyad Al Banjari?...
12) Demokrasi Dan Pemerintahan Islam
13) Tafsir Al-Fatihah(ayat 7)
14) Tafsir Al-Fatihah (ayat 6)
15) Tafsir Al-Fatihah (ayat 5)
16) Berfikir??
17) Tafsir Al-Fatihah (ayat 4)
18) Tafsir Al-Fatihah (ayat 2-3)
19) Tafsir Al-Fatihah (ayat 1)
20) Memurnikan Amal Jamaie
21) Hiburan Dan Muzik..Dan persimpangan
22) Keruntuhan Usmaniyyah..Pengenalan Sultan Terakhir Turki
23)Rasulullah..Saintis Sosial Dan Politik Terulung
24) Gambaran Umum Apa Itu Dakwah
25) Mahasiswa,Buku Dan Universiti
26) Pengajaran Surah Al-Hujurat
27) Nak Kopi??KOPISATU!!
28) Amerika VS Iran
29) Kilat..Takut Ada Tanda...
30) Isu Penghinaan Nabi...perlu tahu fakta
31) Falsafah Aliran Mistik
32) Nilai Sepunya Falsafah Yunani
33) Pengaruh Imperialis Terhadap Sejarah Kita
34) Puisi : Bukan Sengaja Ku Disini
35) Dasar Istihasan Sebagai Satu Sumber Hukum
36) Tawanan Fallujah : Rakyat Malaysia..
37)Teori etika antara Islam dan Barat
38) Riba Dan Beberapa Perbahasan Klasik
39) Realiti Kehidupan Barat
40) Kesan Penjajahan Terhadap Tradisi Keilmuan Islam
41) Hukum Akal Serta Hikmahnya Untuk Umat Islam kini...
42) Perbahasan Isu Penghinaan Nabi(2)
43) Tuduhan Pertama : Isu Perhambaan
44) Tuduhan Kedua : Rasulullah Pengganas
45) Tuduhan Ketiga : Rasulullah dengan Dasar Tertutupnya
46) Judas
47) Kitab Haji (Pertama)
48) Bab Haji (Kedua)
49)Tuduhan Keempat : Rasulullah Mendiskriminasi Wanita
50) Bab Haji (ketiga)
52) Media alternatif...media tradisi?
53) 'Tak Nak Kacau'...'Tak Nak Tegur'
54) Suka Duka Gerakan Islam Dunia
55) Kegopohan Jepun...
56) Bab Haji (4)
57)Politik Melayu Sebelum, Semasa Dan Selepas Perang
58) Kenapa Mahasiswa Kini Jahil Sirah?
59) Kebenaran Al Quran Dengan Sains Alam Sejagat
60)Alam dan Al Quran....
61) Kejadian Menusia Dalam Al-Quran
62) Bangsa Lain Menguasai Warisan Melayu Islam....Nasib Tulisan Jawi
63) Ramalan Rasulullah terhadap pasaran bebas
64) Bab Haji(5)
65) Tangisan Mereka Kering Sendiri Akhirnya...
66) Maju Dengan Buku...Buku Ada Auranya Sendiri...
67) Saya Sayaaaang...Kucing
68) Pengetahuan Kebudayaan;Satu Keperluan Mahasiswa
69) Sikap Kita Terhadap Isu Palestin dan Zionis
70) Dilema Mempertahankan Hak Istimewa Melayu
71) Cerita ni biasa je..saja nak cerita gak...
72) Semutal Lama...
73) Interaksi Gerakan Dakwah Malaysia
74)Umat Islam buta huruf..Islam bukan anti-intelek..
75) Respon terhadap tulisan Interaksi antara Jamaah
76) Islam dan Sosialisme
77)Peranan Tafsir Maudu'i dalam aplikasi Dakwah berkesan.
78)Usul Dan Furu', dikotomi yang mungkin dikelirukan...
79)Jihad terbuka..jaminan sosial...
80)Isu Aqidah..isu kita bersama
81)Plant Tindakan Terhadap ISU ISLAM
82)Memahami Unsur Dan Ciri Negara Islam
83)Islam : dikotomi kepercayaan dan pemikiran.
84)HAPUSKAN WTO !!
85)Monolog aku pada DIA
86)Mari membokot..bagaimana memboikot?
87)Campur tangan Amerika dalam operasi kristianisasi
88)Berdebat dalam kelas...
89)Berdebat dalam kelas...
90)FESKUM..medan latihan mahasiswa?
91)Edaran Khutbah Jumaat
92)Agama sebagai faktor penyatuan bukan perbalahan
93)Merdeka perlukan semangat patriotik...
94)Erti merdeka dalam erti minda yang realiti
95)Bab Haji 6
96)Sektor Pekerjaan Dan Ibadah
97)Perbahasan Isu Kalam Allah Menurut Tohawi....
98)Bab Haji 7
99)Keilmuan Politik dan Aplikasi; saranan Ulama' Tradisi
100) Bab Haji (8)
101) Bab Haji (9)
102) Pembongkaran Pemikiran Said Nursi Badiuzzaman
103) Qasad Yang sahih dan Ikhlas...
104) Sentimen anti jepun...menggagalkan normalisasi
105) Muniatul musolli (bahagian 1)
106) Muniatul Mosolli (bahagian kedua)
107) Menyediakan makanan untu keluarga si mati
108) Tafsir Al Bayan. (bahagian 1)
109) Benarkah agama lain diiktiraf?
110) Hukum-Hukum Dalam Islam (ilmu usuluddin)
111) Benarkah wujud Makhluk lain di Planet selain BUMI?
112) Hari Raya dalam Kosmo Melayu
113) Kedukaan Farah....Dalam kalangan yang durja
114)Gelaran Al Abtar
115) Ajaran Sesat
116) 3 suku dan hero tamil
117) Adakah malaikat tertakluk dalam syariat rasulullah
118) Tafsir Al Bayan (Bahagian 2)
119) Tafsir Al Bayan (bahagian 3)
120) Kitab bab Korban,aqiqah (part 1)
121) MUZIK?kenapa tiada ruang untuknya?
122) KEBANGKITAN MELAYU, RETORIKA ATAU SUATU WAHANA
123) REJIMEN KE-10 PKM MENGANUT KOMUNISME ATAU MENUNGGANG KOMUNISME?
124) Melayu Dan Raja bersendikan adat
125) Agenda Perpaduan Kaum; Agenda bersama
126) jalur Pemikiran Syed Qutb
127) Sayyid Sabiq Dan Fiqh As Sunnah
128) Reformis akan menjadi orthodoks akhirnya...
129) Sejarah Retro Merdeka yang kian dilupakan.
130)KEFARDHUAN MEMPELAJARI ASAL FALSAFAH DAN AQIDAH ILHAD DALAM MEMAHAMI KESESATAN IDEOLOGI MODEN1





<< October 2006 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31

MEDAN BITARA:.


.

  • IKLANEKA
    INGIN MENGHANTAR ARTIKEL? INGIN BERKONGSI IDEA SERTA MEMBERI SARANAN? Email : jihadin82@yahoo.com





    Logo lama Universiti Malaya
    Universiti Terulung


  • KESINAMBUNGAN PENTING BLOG MUNAWWARAH
    Ingin berdiskusi secara ilmiah? Artikel ilmiah dan berada dalam komuniti ilmiah? Sila memasuki alam pendita_bitara@yahoogroups.com.....
    Masukkan alamat email:


    Powered by
    groups.yahoo.com




    Locations of visitors to this page


    Get your own playlist at snapdrive.net!
    DOWNLOAD LAGU SAYA

    REC017.WAV
    REC013.WAV
    REC014.WAV
    REC015.WAV
    selawat kompang.WAV
    REC016.WAV

    Saya menyediakan perkhidmatan sewa alatan muzik perkusi (ketuk) untuk kegunaan nasyid atau persembahan kesenian Islam-Melayu. Harga semestinya berpatutan serta perkhidmatan hantar alatan sewa ke tempat anda. Saya juga berpengalaman mengadakan latihan nasyid yang melibatkan latihan vokal berharmoni serta permainan alatan muzik perkusi di sekolah-sekolah serta institusi khas.

    Hubungi saya untuk maklumat serta pakej perkhidmatan yang saya sediakan. Bersedia untuk membantu agensi kerajaan atau NGO untuk menubuhkan pasukan nasyid yang berkemahiran. Harga dan khidmat istimewa untuk pelajar sekolah atau IPT. Hubungi 017 6291368 atau email : jihadin82@yahoo.com

    Penulis sambilan untuk Majalah Milenia Muslim, Farduain, Dian, Dewan Kosmik, Dewan Masyarakat dan beberapa media lain. Kini giat membentang kertas kerja isu umat Islam dalam dan luar negara untuk kefahaman masyarakat awam. Berminat untuk diskusi atau forum sila hubungi 017 6291368

  • If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed